ALOR GAJAH: Pembinaan kompleks tahfiz dakwah mualaf terbesar di Asia Tenggara terletak di negeri ini, yang sedang dalam fasa perancangan bakal menjadikan Melaka sebagai peneraju institusi tahfiz dan pembangunan mualaf.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, cadangan pembinaan kompleks tahfiz itu adalah hasil inisiatif Pertubuhan Akademi Al Bayan, sekali gus berpotensi meningkatkan perkembangan dan kualiti pendidikan Islam di Melaka.
Beliau berkata, projek berkenaan dijangka membabitkan kos keseluruhan berjumlah RM25 juta dan setakat ini sebanyak RM11 juta berjaya dikumpul hasil sumbangan pelbagai pihak.
“Insya-Allah kompleks tahfiz dakwah mualaf itu nanti akan menjadi sebuah pusat rujukan agama Islam bagi peringkat antarabangsa pada masa akan datang. Setakat ini negara lain seperti Indonesia, Singapura dan Brunei bersetuju menjadikan institusi itu sebagai sebuah pusat tahfiz bagi rantau ini.
“Kerajaan negeri menyokong penuh cadangan ini, sekali gus meningkatkan perkembangan dan kualiti pendidikan Islam di Melaka. Saya mengalu-alukan supaya semua rakyat Melaka bersama-sama menyalurkan sumbangan bagi tujuan pembinaan kompleks tahfiz ini dalam usaha kita memperkasakan Islam,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan UMNO Bahagian Masjid Tanah di Villa D’Acqua di sini, semalam.
Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan Akademi Al Bayan, Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan berkata, sebanyak RM100,000 telah diagihkan bagi membantu golongan mualaf dan asnaf menjalani ibadah Ramadan, tahun ini.
Beliau berkata, dana hasil sumbangan orang ramai itu disalurkan kepada 500 penerima di seluruh negara.
“Kita telah menyampaikan amanah orang ramai yang menyumbang, bantuan ini diberikan secara menyeluruh bukan di Melaka sahaja. Setakat ini bantuan telah disampaikan kepada 500 orang, termasuklah pemberian wang tunai, kit makanan, anjuran majlis berbuka puasa, pembelian baju sekolah untuk anak-anak dan pakaian raya,” katanya. – UTUSAN










