Pasangan suami isteri didakwa perdagang dua wanita warga asing - Utusan Malaysia

Pasangan suami isteri didakwa perdagang dua wanita warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas dua pertuduhan memperdagangkan wanita warganegara asing di Port Dickson tahun lalu.

Tertuduh, S. Kumaraguru, 33, dan T. Agatishwari, 32, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim, Datin Surita Budin.

Berdasarkan pertuduhan pertama, kedua-duanya telah memperdagangkan seorang wanita berusia 41 tahun warganegara Myanmar yang tidak memiliki dokumen bagi maksud eksploitasi kerja dengan cara penggunaan kekerasan.

Perbuatan itu dilakukan di antara bulan Julai 2023 hingga Oktober 2023 di sebuah rumah di taman perumahan di Lukut, Port Dickson.

Bagi pertuduhan kedua pula, kedua-duanya didapati telah memperdagangkan seorang wanita berusia 21 tahun yang merupakan warganegara India bagi maksud eksploitasi kerja dengan cara penyalahgunaan kedudukan orang yang mudah terdedah kepada bahaya perbuatan pemerdagangan orang.

Perbuatan kedua itu dilakukan pada bulan Oktober 2023 di lokasi yang sama dengan pertuduhan pertama.

Oleh itu, kedua-duanya telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi manakala tertuduh diwakili peguam, Hasvinder Singh Gill.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang wang jaminan dan memohon satu tarikh sebutan semula kes.

Bagaimanapun, Hasvinder memohon wang jaminan RM5,000 memandangkan kedua-dua tertuduh mempunyai dua orang anak berusia tujuh dan dua tahun yang memerlukan penjagaan penuh selain tanggungan ibu bapa.

Hakim kemudiannya membenarkan wang jaminan sebanyak RM6,000 bagi setiap pertuduhan dengan keseluruhan RM12,000 bagi setiap tertuduh selain syarat tambahan tidak mengganggu mangsa serta melaporkan diri ke balai polis berdekatan setiap bulan sehingga kes selesai.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan ada 30 Mei ini.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN