PETALING JAYA: Pasangan suami isteri berusia antara 26 hingga 35 tahun merupakan yang paling ramai bercerai melibatkan sebanyak 162,556 kes dari 2020 sehingga 2023.
Berdasarkan statistik kes oleh Mahkamah Syariah yang dijana melalui sistem e-Syariah, ia diikuti oleh kumpulan pasangan berusia 36 sehingga 45 tahun dengan 112,641 kes dalam tempoh sama.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah dan penyelaras bahagian Antropologi dan Sosiologi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd. Khairuddin Mohd. Sallehuddin berkata, situasi itu didorong oleh masalah kewangan dan pengurusan mental yang lemah dalam institusi kekeluargaan.
Katanya, disebabkan itu, silibus kursus perkahwinan sedia ada perlu ditambah baik mengikut keperluan terutama melibatkan pendidikan kewangan dan pengurusan mental.
“Aspek kewangan dan pengurusan mental memainkan peranan penting dalam membentuk keharmonian dan kestabilan dalam rumah tangga.
“Kewangan yang teratur dan kesedaran emosi yang baik merupakan asas penting membina hubungan sihat dan berdaya tahan,” katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, Presiden Badan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan, Datuk Zainul Rijal berkata, tanggungjawab untuk mengurangkan isu penceraian dalam sesebuah perkahwinan bukan hanya bergantung kepada silibus tetapi banyak faktor lain perlu diambil kira.
Menurutnya, adab dan pengurusan kehidupan terutama berkaitan perkahwinan perlu didedahkan sejak peringkat sekolah lagi.
“Kemahiran hidup perlu ditekankan di sekolah dan bukan hanya mengutip gred A dalam peperiksaan,” jelasnya.










