KUALA LUMPUR: Bekas personaliti televisyen, Norjuma Habib Mohamed mengaku tidak bersalah di empat Mahkamah Majistret di sini semalam atas tiga pertuduhan mencederakan tiga individu dan dua dakwaan melakukan khianat.
Pengakuan tersebut dibuat selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan, Amira Abd. Aziz, Fatin Dayana Jalil dan Noor Elynna Hanim Abd. Halim.
Mengikut pertuduhan, Norjuma, 44, didakwa mencederakan Mohd. Afiq Ismail, 34, pada pukul 8.43 malam, 21 Februari 2017 di sebuah premis perniagaan di Menara Atlan di sini.
Dia juga didakwa telah menendang betis kiri seorang pengawal keselamatan lelaki warga Nepal, Neupane Tika Ram pukul 3 petang, 29 Mac 2018 di sebuah pusat tuisyen di Brickfields di sini.
Norjuma yang kini usahawan tudung juga didakwa telah menampar pipi dan mencakar tangan Nur Solehah Rosl, 31, pada pukul 10.30 pagi, 18 Oktober 2021 di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Sesyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-dua sekali.
Norjuma juga didakwa atas dua pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang keluar masuk dan kamera litar tertutup (CCTV) milik Sastra U-Thant Kondominium, Wangsa Maju di antara pukul 7.44 dan 7.45 malam, 28 Julai 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Harvind Raja Gopal, Hamizah Hisan dan Vivian Yeap Jie Xi manakala Norjuma diwakili peguam bela, Izzat Amir. Mahkamah menetapkan ikat jamin RM6,500 bagi kesemua pertuduhan dan 27 Jun ini untuk sebutan semula kesemua kes. – UTUSAN










