MBS laksana kutipan bayaran tempat letak kereta di 10 lokasi baharu - Utusan Malaysia

MBS laksana kutipan bayaran tempat letak kereta di 10 lokasi baharu

TEMPAT letak kereta di Dataran Centrio, Seremban 2, Seremban merupakan salah satu daripada 10 lokasi baharu yang akan melaksanakan kutipan bayaran tempat letak kereta di bawah pentadbiran MBS.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) akan melaksanakan kutipan bayaran tempat letak kereta di 10 lokasi baharu dengan kadar bayaran 60 sen per jam atau pas bulanan sebanyak RM90 berkuasa 2 Mei 2024. 

Unit Komunikasi Korporat MBS menerusi kenyataan memaklumkan, 10 lokasi baharu itu adalah di Bandar Prima Senawang, Pusat Perniagaan Lavender, Pusat Perniagaan Ixora, Pusat Bandar Senawang, Rasah Prima, Era Square, Medan Perniagaan Kepayang, Dataran Centrio, Uptown Avenue dan Nilai Square.

“Bayaran ini adalah selaras dengan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) Perintah Lalulintas Jalan (Letak Kereta Bermeter) (Majlis Perbandaran Seremban) 1994 dan Perintah Lalulintas Jalan (Letak Kereta Bermeter) (Majlis Daerah Seremban) 2002 yang telah diwartakan,” kata kenyataan itu. 

Bagi pengoperasiannya, MBS juga telah melantik sebuah syarikat untuk melaksanakan penguatkuasaan tempat letak kereta di kawasan terlibat. 

“Bagi tujuan penyeragaman sistem, penggunaan aplikasi Flexi Parking, aplikasi Setel dan TouchNGo eWallet boleh digunakan meliputi kawasan parkir di kawasan pentadbiran MBS termasuk kawasan Nilai dan Seremban. 

“Pengguna perlu memilih zon tempat letak kereta semasa membuat bayaran melalui aplikasi tersebut. Waktu operasi bayaran tempat letak kereta adalah hari Isnin hingga Jumaat daripada pukul 8 pagi hingga 5 petang tidak termasuk hari Sabtu, Ahad dan hari kelepasan am,” kata kenyataan itu. 

Pada masa sama, kenyataan itu berkata, penggunaan kupon gores dan pamer akan ditamatkan berkuat kuasa 1 Januari 2025 di kawasan Seremban dan Nilai. 

“Bagaimanapun, kupon sedia ada yang telah dibeli oleh orang awam masih boleh digunakan sehingga tamat tempoh kupon tersebut iaitu sehingga 31 Disember 2024.

“MBS dalam usaha untuk beralih kepada perkhidmatan secara digital iaitu bayaran tanpa tunai dengan menggunakan perkhidmatan atas talian. 

“Melalui pelaksanaan bayaran tempat letak kereta di kawasan ini, MBS berharap agar penggunaan tempat letak kereta di kawasan tersebut lebih baik dan teratur,” kata kenyataan itu lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN