JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengunjurkan pendapatan berjumlah RM550.67 juta daripada hasil cukai, bukan cukai dan terimaan bukan hasil pada tahun ini.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman berkata, sasaran itu adalah kenaikan sebanyak 17 peratus daripada tahun sebelumnya, iaitu RM524.09 juta.
Menurutnya, bagi mencapai sasaran tersebut, pelbagai inisiatif dirangka terutamanya membabitkan sektor utama seperti pendigitalan dan bandar pintar, projek tebatan banjir, pembangunan dan baik pulih infrastruktur yang boleh mendatangkan manfaat kepada masyarakat.
“MBJB juga telah memperuntukkan bajet RM2.16 juta bagi pelaksanaan aktiviti Local Agenda 21 (LA21) merangkumi aktiviti berteraskan kemasyarakatan, pembasmian penyakit berjangkit serta pembinaan infrastruktur kecil di peringkat zon masing-masing.
“Pemberian peruntukan ini adalah cerminan pentingnya peranan yang dimainkan oleh Ahli Majlis sebagai penggerak masyarakat untuk turun padang menyantuni masyarakat dan melaksanakan agenda pemerkasaan warga bandar raya,” katanya pada Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis 2024/2025 di Menara MBJB, di sini.
Pada majlis tersebut, seramai 11 Ahli Majlis diperbaharui lantikan menjadikan seramai 24 jumlah keseluruhan Ahli Majlis di kawasan pentabdiran MBJB.
Mohd. Noorazam berkata, Ahli Majlis memikul tanggungjawab yang besar untuk memastikan warga bandar raya dapat merasai dan menikmati manfaat dari segi pembangunan serta kebajikan hasil daripada bayaran cukai yang dilakukan mereka.
Pada tahun ini juga, MBJB akan memberikan tumpuan dan penekanan terhadap aplikasi teknologi menerusi pendigitalan prosedur majlis ke arah pemodenan pentadbiran, sekali gus mewujudkan ekosistem bandar pintar.
“Saya berharap agar Ahli Majlis sentiasa bersabar dalam menyantuni masyarakat, berhemah dan sentiasa menunjukkan sikap yang profesional bagi memastikan imej dan kredibiliti MBJB sentiasa terpelihara.
“Ahli Majlis merupakan penghubung dan ejen pengharmonian antara MBJB dan pihak kerajaan negeri serta warga bandar raya ini, sudah tentu peranan ini perlu dimainkan dengan penuh keinsafan dan berhati-hati agar pembangunan fizikal dan pembangunan insani warga Johor Bahru dapat dilaksanakan dengan optimum dan selari dengan agenda dan hasrat kerajaan negeri,” katanya. – UTUSAN










