JOHOR BAHRU: Syarikat pengendali air, Ranhill SAJ diminta membuat persediaan terbaik bagi memastikan gangguan bekalan air tidak terus berlarutan, khususnya sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyuarakan perasan kesal dengan gangguan yang dilaporkan masih berlaku di beberapa kawasan ketika ini sehingga menjejaskan sambutan perayaan berkenaan.
“Kerajaan negeri menggesa Ranhill SAJ untuk segera menangani setiap aduan gangguan bekalan air yang dialami oleh rakyat Johor.
“Ranhill SAJ sewajarnya mengambil tindakan yang proaktif dalam mempertingkat kualiti perkhidmatan ke tahap maksimum demi kesejahteraan penduduk negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurutnya, Ranhill SAJ telah diminta membuat persediaan dan tindakan sewajarnya bagi memastikan perkara itu tidak berlaku sebelum ini.
“Pengurusan tertinggi Ranhill SAJ juga telah memberikan komitmen untuk memastikan tiada isu gangguan bekalan air mahupun catuan air di negeri Johor sepanjang musim perayaan ini.
“Namun demikian, berdasarkan aduan diterima telah menimbulkan persoalan berhubung keupayaan Ranhill SAJ selaku operator bekalan air di Johor dalam menangani gangguan bekalan air yang berlaku saban tahun,” katanya.
Rabu lalu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor memaklumkan lebih 1,000 penduduk di beberapa kawasan termasuk Kampung Sri Muar, Felda Bukit Permai dan Murni Jaya di Kulai mengalami gangguan bekalan air pada sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini. – UTUSAN










