PETALING JAYA: Seorang rakyat Palestin yang menetap di negara ini mendakwa menerima sekurang-kurangnya enam panggilan berbaur ugutan daripada rejim Zionis dan rakyat tempatan sejak dua bulan lalu yang mengancam keselamatannya dan ahli keluarganya di sini.
Lelaki Palestin itu, Yousuf K. Abuassi, 29, dikatakan diganggu sejak dua bulan lalu dengan pelbagai panggilan yang mengancam keselamatannya dan ahli keluarga lain dipercayai disebabkan kelantangannya menyuarakan isu penindasan rakyat Palestin di media sosial.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yousuf atau lebih dikenali dengan nama Yousuf Anak Palestin berkata, pertama kali dia menerima panggilan menggunakan nombor yang dipercayai didaftar di negara Israel dengan ancaman rejim Zionis akan membedil kediamannya di Gaza.
“Keesokan harinya, kediaman ahli keluarga saya di Gaza hancur dibedil Israel dan sehingga kini seramai 18 ahli keluarga saya sudah pun meninggal dunia.
“Alasannya, mereka kata saya sokong perjuangan Hamas,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut Yousuf lagi, dia kemudiannya menerima beberapa panggilan termasuk daripada individu dipercayai rakyat tempatan yang menggunakan bahasa Malaysia mengancam keselamatannya.
“Dia telefon tanya di mana rumah dan mengugut akan cari saya dan keluarga sampai dapat. Perkara ini amat membimbangkan kerana saya ada isteri dan anak kecil baru berusia tujuh bulan,” katanya.
Yousuf yang berniaga di negara ini berkahwin dengan wanita tempatan dan dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia tujuh bulan.
Lelaki berasal dari Gaza itu aktif di media sosial membawakan isu-isu membabitkan Palestin sejak perang 7 Oktober tahun lalu selain mengumpulkan dana untuk disalurkan kepada penduduk di wilayah bergolak tersebut.
Mengulas lanjut, Yousof berkata, ancaman diterimanya mengundang trauma kerana individu dikenalinya iaitu pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), Dr. Fadi M. R. Albatsh Fatma dibunuh ejen perisikan Mossad di negara ini pada 2018.
“Jadi, apabila polis Malaysia berjaya menahan seorang rakyat Israel dengan senjata api baru-baru ini, saya sudah mula trauma dan bimbangkan keselamatan diri serta ahli keluarga kerana sahabat kami (Dr. Fadi) pernah menjadi mangsa pembunuhan,” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang lelaki warga Israel bersama enam pucuk senjata api serta 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang di sini, Rabu lalu.
Lelaki berusia 36 tahun itu dikesan masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Mac lalu dengan menggunakan pasport Perancis. – UTUSAN










