Lelaki dipenjara 35 tahun bunuh anak lelaki kekasih - Utusan Malaysia

Lelaki dipenjara 35 tahun bunuh anak lelaki kekasih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan memerintahkan seorang lelaki menjalani hukuman penjara 35 tahun dan dikenakan 12 sebatan atas kesalahan membunuh anak lelaki kekasihnya yang berusia enam tahun di Kangar, Perlis, enam tahun lalu.

Keterangan kes menyatakan, hasil bedah siasat mendapati, mangsa mengalami sekurang-kurangnya 47 kecederaan antaranya patah kedua-dua tulang rusuk, lebam kedua-dua organ paru-paru dan pendarahan teruk di ruang belakang rongga abdomen yang disahkan akibat trauma tumpul.

Perayu Noraizuwan Hamali (teman lelaki ibu mangsa) mendakwa kanak-kanak itu terjatuh di bilik air selain mengalami sakit perut kemungkinan kerana `salah makan’ ketika di tadika. Pasangan itu tinggal bersama di rumah tempat kejadian.

“Kalau jadi apa-apa dekat anak, jangan marah,” demikian kata-kata lelaki itu ketika menjemput ibu mangsa (operator pengeluaran) pulang daripada bekerja pada malam tersebut. Mangsa ditemukan ibunya terbaring di rumah dalam keadaan berselimut dan tidak sedarkan diri.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Muhammad Rayyan Hidayat Hairil Khan di sebuah rumah di Kampung Jejawi, Kangar di antara pukul 3.45 petang, 18 April 2018 dan 12.10 tengah malam keesokannya.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail mengetepikan hukuman mati yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kangar terhadap Noraizuwan. Hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 19 April 2018.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin sebulat suara menggantikan hukuman itu selepas membenarkan rayuannya terhadap hukuman gantung manakala rayuan terhadap sabitan ditolak.

Panel itu berpuas hati, tiada merit dalam rayuan dibuat dan sabitan terhadap lelaki itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, selamat untuk dikekalkan.

“Bagaimanapun mahkamah membenarkan rayuannya terhadap hukuman selepas penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) pada 4 Julai 2023 selepas mempertimbangkan rayuan dan faktor pemberat.

“Kami berpuas hati, pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa perayu merupakan orang terakhir yang berada bersama mangsa meskipun tiada saksi mata yang melihat kejadian itu,” ujar Hakim Azmi melalui alasan penghakiman bertarikh semalam yang diperoleh pihak media daripada laman web mahkamah hari ini.

Dalam penghakimannya, Hakim Azmi berkata, Mahkamah Rayuan menyimpulkan bahawa Noraizuwan adalah individu yang melakukan kesalahan itu.

Pada hemat panel itu, Noraizuwan gagal memberi penjelasan bagaimana wujud kesan kecederaan yang banyak pada mangsa hingga menyebabkan kematian.

“Mengenai kecederaan dialami mangsa, SP6 (saksi pendakwaan keenam), Dr. Mohd Suhani Mohd Noor mengesahkan punca kematian disebabkan kecederaan abdomen, organ dalaman dan pendarahan.

“Malah, SP6 mengatakan bahawa corak kecederaan boleh dikategorikan sebagai bukan bersifat kemalangan. SP6 mendapati kecederaan ke atas mangsa boleh dilakukan oleh seorang individu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN