Lelaki bebas tuduhan simbah asid ke muka kekasih, mahkamah terima pembelaan alibi - Utusan Malaysia

Lelaki bebas tuduhan simbah asid ke muka kekasih, mahkamah terima pembelaan alibi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam daripada hukuman penjara 12 tahun dan denda RM3,000 atas kesalahan menyimbah asid terhadap kekasihnya yang juga rakan sekerja sehingga menyebabkan kecederaan parah, lima tahun lalu.

Hakim Ab. Karim Ab. Rahman membenarkan rayuan Mohd. Nazarudin Najmudin selepas berpuas hati sabitan dan hukuman penjara yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Ampang pada 6 Ogos 2021, tidak selamat untuk dikekalkan.

Beliau berpuas hati bahawa perayu berjaya menimbulkan keraguan munasabah pada kes pendakwaan berhubung pengecaman terhadapnya yang hanya dilakukan berdasarkan rambut di sisi kepala dan gaya lariannya selepas didakwa menyerang mangsa.

Mangsa ketika memberi keterangan berkata, gaya rambut dan cara penyerangnya berlari, sama seperti perayu manakala suspek berhenti ketika dia memanggil `B’ yang merujuk kepada nama panggilan perayu.

Kes pendakwaan menyatakan, perayu merupakan kekasih dan rakan sekerja mangsa (saksi pendakwaan pertama).

Mohd. Nazarudin dituduh melakukan perbuatan itu terhadap mangsa yang ketika itu berusia 32 tahun di Jalan Pandan Indah 22, Pandan Indah dekat sini pada 7.40 malam, 25 Januari 2019.

Hakim Ab. Karim juga berpuas hati bahawa hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf kerana tidak menghargai sepenuhnya pembelaan alibi yang dikemukakan perayu yang konsisten menyatakan bahawa dia tidak berada di tempat kejadian, sebaliknya terlibat dalam kemalangan di tempat berlainan iaitu di Batu 10, Jalan Cheras.

Hakim Ab. Karim menerima keterangan perayu dan disokong oleh keterangan saksi pembelaan ketiga (SD3) iaitu individu yang membantunya ketika kemalangan.

Keterangan kes menyatakan, pada hari kejadian, ketika mangsa berjalan menuju kereta yang diparkir di Stesen LRT Pandan Indah, dia menerima panggilan telefon daripada perayu memaklumkan dia telah tiba di rumahnya di Kajang dan bertanyakan dimana mangsa berada.

Ketika mangsa membuka pintu kereta dia menoleh selepas terdengar seseorang datang dari arah belakang dan melihat seorang lelaki bertopi dan memakai pelitup muka.

“Lelaki itu kemudian menyimbah cecair ke arah muka mangsa dan terkena muka kiri, leher dan kedua-dua tangan manakala lelaki itu berlari menuju ke sebuah jambatan kecil.

“Mangsa yang kesakitan mengejar lelaki itu dan mengecamnya sebagai perayu melalui rambut di sisi kepala dan gaya larian sambil memanggil `B’ menyebabkannya berhenti dan menoleh ke arah wanita itu sebelum melarikan diri,” demikian menurut penghakiman itu.

Mangsa kemudian memandu kereta ke Hospital Ampang untuk mendapat rawatan dan ditempatkan di zon merah kerana kecederaan serius dan dikategorikan mengalami kebakaran tahap kedua yang meninggalkan kesan parut kekal.

Kes pendakwaan menyatakan, motif perayu mencederakan mangsa berpunca daripada sikap cemburu lelaki itu terhadap mangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN