Laluan cetek sukarkan nelayan turun ke laut

Laluan cetek sukarkan nelayan turun ke laut

AZMAN Awang menunjukkan laluan keluar dan masuk di Jeti Nelayan Sungai Boh, Pontian yang terpaksa melalui bawah jambatan yang dasarnya cetek ketika air surut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Seramai 30 nelayan yang menggunakan Jeti Sungai Boh, dekat sini mendakwa sukar turun ke laut seperti biasa di­sebabkan dasar di laluan bawah jambatan ke kawasan Perindustrian Tanjung Bin dipenuhi batu ketika air surut.

Mereka yang merupakan nelayan pantai terpaksa mendayung ketika melalui bawah jambatan tersebut sehingga mengalami kelewatan untuk melakukan tugas harian.

Seorang nelayan, Azman Awang, 58, berkata, masalah tersebut bermula selepas jambatan yang dibina menyeberangi Sungai Boh siap dua tahun lalu yang menuju ke kawasan Perindustrian Tanjung Bin.

Walaupun pembangunan yang di kawasan tersebut dapat menjana ekonomi negara, namun mereka sukar mencari rezeki.

Selain jambatan Sungai Boh, situasi sama berlaku di bawah jambatan Sungai Chengkeh apabila mereka terpaksa menolak bot untuk menyeberangi sungai tersebut.

“Kami berharap supaya dasar sungai di kedua-dua bawah jambatan tersebut diperdalamkan supaya memudahkan nelayan mengendalikan bot mereka tanpa sebarang halangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Seorang lagi nelayan, Azmi Rahmat, 50, berharap pemaju projek berbincang dengan nelayan serta mendengar masalah yang akan berlaku selepas pembinaan jambatan tersebut.

Katanya, jambatan Sungai Boh dan Sungai Chengkeh merupakan laluan penting bagi kenderaan berat untuk ke Kawasan Perindustrian Tanjung Bin, namun dia mendakwa pemaju gagal untuk memahami harapan dan keperluan nelayan pantai di kawasan tersebut.

“Kami merelakan pembangunan yang melibatkan kehidupan nelayan tradisional seperti di Kampung Sungai Boh, Sungai Chengkeh, Sungai Dinar dan Sungai Sam, namun masa depan kami juga perlu diberikan perhatian.

“Nelayan perlu kemudahan bagi mereka untuk keluar ke laut walaupun hasil tangkapan ikan dan udang semakin merosot, namun inilah periuk nasi kami untuk menyara keluarga,” katanya sambil berharap perkara tersebut diberi perhatian oleh semua pihak yang berkaitan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×