KUALA LUMPUR: Disindir segelintir netizen kerana memiliki kulit wajah yang licin hingga kelihatan seolah-olah ‘melekit’, penerbit dan pengarah, Michael Ang, mengakui langsung tidak tersinggung.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, kata Michael, dia bahkan tidak kisah dengan gurauan nakal netizen itu yang kebetulan mengaitkannya dengan sebuah video luahan seorang pempengaruh, Imran Bard, yang menyentuh isu kulit wajah seorang individu.
Menurut Michael, secara peribadi, dia juga tahu bahawa Imran tidak memaksudkan dirinya sebagai individu berkulit wajah ‘melekit’ itu.
“Dia ada buat video luahan bahawa dia bertemu dengan seorang artis ini dan menurut Imran, wajahnya sangat bersih tiada cela hasil pemakaian tujuh lapis produk. Tapi saya tahu Imran tak bercakap pasal saya.
“Sebabnya, pertama, bukan amalan saya apabila berjumpa orang, sengaja berlaga-laga pipi. Saya tak mahu orang pandang serong terutama kalau nak berlaga pipi dengan kawan perempuan yang tentunya bukan muhrim.
“Lagi pula saya nak berlaga pipi dengan kenalan lelaki yang entah-entah berkulit wajah berminyak. Memang tidak,”katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Kongsi Michael, dia juga tidak pernah melakukan amalan sebegitu sekiranya bertemu dengan sahabat rapatnya seperti Marsha Milan dan Erra Fazira.
“Paling-paling pun saya akan buat reaksi ‘muah-muah’ sahaja dari jauh, tak akan berlaga pipi.Tetapi, tak mengapa, saya tak kecil hati pun kalau orang bercakap-cakap pasal hal ini,”katanya.
Ditanya sama ada dia mengenali Imran secara dekat, kata Michael, dia tidak pernah bertemu secara berdepan dengan pempengaruh itu namun mengakui beberapa kali terserempak di acara hiburan di ibu negara.
“Saya kenal dia sebagai pempengaruh di media sosial sahaja. Jumpa depan-depan belum pernah lagi. Saya tak terasa pun kalau video pasal wajah melekit itu memang ditujukan kepada saya. Tetapi saya rasa tidak.
“Saya pun ada buat video balas kepada netizen mengenai hal itu baru-baru ini. Tapi bukan sebagai satu ‘serangan’ pada Imran pun. Saya cuma harap netizen tidak mudah menghakimi sahaja.
“Kalau nak tahu, memang kulit wajah saya melekit pun. Tetapi cuma di waktu malam sahajalah bila berada di dalam rumah sebelum tidur. Saya memang jaga kulit wajah dan ada rutin harian. Tapi kalau melekit di rumah, tak apalah. Bukannya nak tunjuk pada sesiapa pun,”katanya.
Baru-baru ini, Imran Bard ada membuat satu hantaran video di Instagram dan Tiktok menyentuh mengenai pengalamannya bertemu dengan seorang artis yang berkulit wajah licin dan seakan ‘melekit’.
Seolah-olah berbaur sindiran halus, netizen bagaimanapun menganggap dan memetik nama Michael sebagai individu yang dimaksudkan oleh pempengaruh tersebut.










