Kuarters terbiar tidak sesuai selesai isu sekolah padat

Kuarters terbiar tidak sesuai selesai isu sekolah padat

ISU kekurangan sekolah yang membawa kepada kepadatan pelajar adalah antara isu yang masih tidak dapat diselesaikan sejak sekian lama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan menggunakan kuarters guru atau bangunan terbiar Kementerian Pendidikan sebagai langkah sementara bagi mengatasi kepadatan pelajar tidak sesuai.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, aspek melibatkan keselamatan dan kesesuaian bangunan untuk suasana kondusif dalam menimba ilmu perlu dititikberatkan.

“Memang tidak sesuai untuk gunakan kuarters terbiar milik kementerian sebagai langkah jangka masa pendek bagi atasi sekolah padat. Bagaimana dengan kantin? Faktor keselamatan untuk murid-murid,” katanya.

Isnin lalu akhbar ini melaporkan, Kementerian Pendidikan komited mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi isu kepadatan murid di sekolah bagi memastikan suasana pembelajaran kekal kondusif.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah intervensi meliputi jangka masa pendek dan panjang telah dilaksanakan untuk memastikan murid-murid kekal selesa di sekolah.
Katanya, kesesakan sekolah sememangnya berlaku terutama di Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Dalam pada itu, Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara, Dr Anuar Ahmad berkata, antara langkah jangka pendek yang boleh dilakukan adalah dengan memastikan garis panduan pendaftaran sekolah menggunakan alamat rumah terdekat dengan sekolah dikuatkuasakan secara lebih tegas.

“Ada sekolah sesak disebabkan ibu bapa mahu anak-anak bersekolah berdekatan dengan tempat kerja mereka,” katanya.

Menurut Anuar, tindakan tersebut menyebabkan pertambahan bilangan murid secara mendadak disebabkan unjuran asal pembinaan sekolah adalah berdasarkan anggaran keluarga lokaliti tersebut sahaja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×