PETALING JAYA: Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyatakan operasi pembenihan awan tidak mengambil kira faktor kos.
Namun, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia memerlukan keadaan yang lebih sesuai bagi pelaksanaan tersebut.
“Kos bukan dalam pertimbangan pelaksanaan pembenihan awan. Pertimbangannya adalah kesesuaian cuaca dan awan untuk pembenihan,” katanya ringkas kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam mengambil kira faktor cuaca dan pergerakan angin sebelum membuat keputusan melakukan kerja-kerja operasi pembenihan awan di kawasan-kawasan yang berdepan dengan kemarau susulan fenomena El Nino.
Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (Grass Malaysia), Mohd. Yusaimi Md. Yusof berkata, langkah diambil kerajaan adalah wajar jika keadaan memerlukan dan biasanya dilakukan dari semasa ke semasa.
“Namun kaedah ini mula menjadi pertikaian. Adakah ia selamat dan sesuai untuk menangani perubahan iklim?
“Proses pembenihan awan mempercepat proses penghasilan hujan namun ia bergantung kepada kualiti dan keadaan awan ketika itu. Peralihan monsun juga harus diambil kira sebelum pembenihan awan dilakukan.
“Mungkin tidak perlu pembenihan awan jika peralihan monsun mampu membawa hujan. Namun yang lebih membimbangkan adalah jika ia tidak dikaji ia akan mendatangkan mudarat,” katanya.
Jelasnya, antara kaedah lain selain pembenihan awan adalah dengan mengurangkan Air Tidak Berhasil atau Non-Revenue Water (NRW).
HILANG
“Kerajaan perlu mengurangkan NRW yang hilang disebabkan kebocoran paip atau faktor lain kerana Malaysia mempunyai jumlah NRW yang tinggi.
“Selain itu, kerajaan juga perlu meningkatkan usaha tuaian air hujan kerana negara lazimnya mengalami kemarau dan ada masanya banjir. Langkah ini perlu supaya lebihan air musim tengkujuh boleh disimpan dan dimanfaatkan ketika musim kemarau,” katanya.
Sementara itu, pakar alam sekitar dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya. Dr. Haliza Abd. Rahman berkata, kerajaan perlu mengatur strategi lain pada kadar segera yang berkesan selain pembenihan awam.
Jelasnya, langkah terbaik khususnya di kawasan yang mengalami kemarau adalah dengan melakukan pencatutan bekalan air berjadual.
“Selain itu, kerajaan boleh mengenal pasti sumber air alternatif seperti air kolam dan air bawah tanah yang selamat digunakan untuk menambah sumber air sedia ada.
“Membina Takungan Air Pinggir Sungai (TAPS) juga boleh dibuat bagi menjamin sumber bekalan air sentiasa mencukupi dan meningkatkan keupayaan takungan air yang boleh digunakan ketika musim kemarau,” katanya. – UTUSAN










