KUALA PILAH: Pemergian Allahyarham Datuk Paduka Dr. Mohd. Rosli Saludin yang meninggal dunia pada 4 April lalu bukan sahaja kehilangan buat ahli keluarganya.
Ia malah satu kehilangan besar kepada masyarakat Negeri Sembilan yang mengamalkan Adat Perpatih serta kepada orang Melayu secara keseluruhan yang kaya dengan warisan dan budayanya.
Menurut anak sulung Allahyarham iaitu Noor Hidayyah Murni, 37, seperti mengetahui tidak ramai individu masih tinggal yang boleh menjadi rujukan terutama dalam hal Adat Perpatih, bapanya telah membina sebuah galeri yang menempatkan ribuan buku dan dokumen berkaitan termasuk mengenai seni warisan orang Melayu.
Menurutnya, Galeri Raja Teromba itu siap dibina pada penghujung tahun lalu di atas sebidang tanah yang diberi nama sebagai Perkampungan Raja Teromba terletak di Kampung Terusan Seberang di sini.
“Ayah telah siapkan galeri ini untuk sesiapa sahaja membuat rujukan dan kajian termasuk kepada pelajar-pelajar universiti, memang itu menjadi hasratnya kerana di sini juga tersimpan ratusan penulisan manuskrip dan tesis bekas pelajarnya semasa arwah menjadi pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
“Arwah juga telah beli dan menyediakan sebuah katil untuk mereka yang mahu bermalam di galeri itu sambil membuat kajian dan penyelidikan, begitulah kesungguhan ayah.
“Ayah pernah beritahu, dia bimbang usianya sudah tidak lama, saya pada waktu itu hanya fikirkan dia bergurau, dia juga selalu pesan kepada saya untuk tinggal di sini dan jaga galeri ini dan baca segala yang ada, mungkin itu juga hasratnya untuk saya dan adik beradik lain untuk menyampaikannya pula kepada orang lain” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Allahyarham Mohd. Rosli yang merupakan penerima anugerah Warisan Kebangsaan Bagi Kategori Orang Hidup (Teromba) oleh kerajaan pada tahun 2018 meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di sini selepas menerima rawatan di hospital itu akibat jangkitan kuman.
Sementara itu, seorang lagi anaknya iaitu, Muhammad Hafiz Fardillah, 25, berkata, dia dan adik beradik lain bersyukur apabila dapat mendokumentasikan segala ilmu yang ada pada arwah bapanya terutama berkaitan Adat Perpatih menerusi video.
“Saya tercetus idea untuk mewujudkan akaun TikTok iaitu Raja Teromba, ayah memang cukup gembira apabila dapat berkongsikan ilmu dan pengetahuan yang ada padanya menerusi video.
“Hal adat memang paling arwah gemar untuk bicarakan namun kurang mendapat sambutan penonton, selepas itu kami selitkan pula jenaka di dalam video dan daripada situ mula ramai yang menonton.
“Video terakhir adalah berkenaan falsafah pemakaian baju Melayu, sepatutnya dua hari sebelum raya juga saya rancang untuk rakam video ucapan hari raya namun tidak sempat,” katanya yang memberitahu akaun TikTok @Raja.Teromba kini diikuti lebih 22,000 pengguna media sosial itu.-UTUSAN.










