Kebakaran Pusat Kualiti Alam: Kerajaan N. Sembilan perlu tegas - Utusan Malaysia

Kebakaran Pusat Kualiti Alam: Kerajaan N. Sembilan perlu tegas

KEJADIAN kebakaran yang berlaku di Pusat Pengurusan Sisa Kualiti Alam, Ladang Tanah Merah, Bukit Pelanduk, Port Dickson baru-baru ini.-GAMBAR/IHSAN BOMBA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan perlu bertegas dalam isu kebakaran di Pusat Pengurusan Sisa Kualiti Alam dekat Bukit Pelanduk, Port Dickson baru-baru ini termasuk berhubung cadangan untuk memindahkannya ke kawasan lain.

Ketua Pembangkang Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker berkata, kejadian kebakaran yang turut melibatkan sisa bahan kimia itu sememangnya amat membimbangkan. 

“Ini kerana lokasi pusat pelupusan sisa tersebut berdekatan dengan kawasan kediaman penduduk termasuk Kampung Sendayan, Kampung Gadong dan taman perumahan lain yang sudah tentu boleh memberi kemudaratan kepada penduduk sekitar,” katanya ketika dihubungi. 

Berikutan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu berkata, pihak syarikat yang menguruskan pusat pelupusan itu juga perlu mengambil tindakan dan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) mereka.

“Selain itu, kerajaan Negeri Sembilan melalui agensi yang berkaitan perlu mengambil tindakan tegas dengan menjalankan audit keselamatan di pusat sisa toksik tersebut di samping mengkaji semula kesesuaian lokasi pusat pelupusan sisa toksik tersebut,” katanya lagi.

Kebimbangan yang sama turut diutarakan ADUN Paroi, Kamarol Ridzuan Mohd. Zain yang memberitahu pernah membawa perkara berkenaan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun lepas susulan kejadian kebakaran yang pernah berlaku di situ pada tahun 205 dan 2019.

“Jika berlaku lagi kebakaran di pusat tersebut ia boleh membahayakan keselamatan penduduk sekitar, kerana difahamkan terdapat lebih 70 sisa bahan kimia berada di situ, pelepasan asap dan pencemaran udara memang berbahaya kepada penduduk.

“Pusat Kualiti Alam berdekatan dengan kawasan Sendayan yang berpendudukan padat dan sedang membangun taman perumahan dengan pesat termasuk Masjid Sri Sendayan yang menjadi tumpuan pelancong.

“Ia sudah beroperasi lebih 25 tahun dan sudah sepatutnya toksik yang berada di situ akan mendatangkan bahaya penduduk,” katanya yang turut bersetuju supaya pusat pelupusan itu dipindahkan ke kawasan lain.

 Penduduk yang berada sekitar kawasan Pusat Pengurusan Sisa Kualiti Alam diharapkan untuk tidak berasa gusar berkenaan keadaan kesihatan mereka susulan kejadian kebakaran yang berlaku di kawasan itu petang semalam.

Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, penduduk yang berada sekitar kawasan Pusat Pengurusan Sisa Kualiti Alam diharapkan untuk tidak berasa gusar berkenaan keadaan kesihatan mereka susulan kejadian kebakaran yang berlaku di kawasan itu pada 12 April lalu.

Katanya, hasil pemantauan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan siasatan oleh pihak bomba mendapati kawasan berkenaan kini selamat dan terkawal.

Namun begitu, ujar beliau sekiranya penduduk sekitar ada apa-apa isu berkenaam keadaan air dari Pusat Kualiti Alam atau kesan udara mereka boleh ke klinik berdekatan untuk memastikan keadaan kesihatan mereka.

Kejadian kebakaran ada pukul 5.40 petang itu berlaku di kawasan pengumpulan bahan sisa berjadual dan kebakaran tercetus hasil tindak balas kira-kira 160 kilogram bahan kimia klorida yang berada di situ.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×