KDN lanjutkan tempoh akhir Surat Kelulusan VDR - Utusan Malaysia

KDN lanjutkan tempoh akhir Surat Kelulusan VDR

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melanjutkan melanjutkan tempoh akhir permohonan Surat Kelulusan Visa Dengan Rujukan (VDR) di Jabatan Imigresen Malaysia sehingga 21 April ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, lanjutan itu dibuat susulan baki kuota penggajian pekerja asing sektor formal yang masih aktif dan telah dibayar levi tetapi masih belum diterbitkan VDR selepas 31 Mac lalu.

Beliau berkata, setakat ini, jumlah kuota aktif yang belum memohon VDR adalah sebanyak 132,000 permohonan.

“Pelanjutan ini akan memberi peluang kepada para majikan yang sahih untuk menyelesaikan proses bagi mendapatkan Surat Kelulusan VDR ini dengan segera.

“Lanjutan itu juga dibuat susulan gangguan teknikal yang berlaku kepada sistem FWCMS pada 21, 22, 23, 27, 28 dan 29 Mac lalu,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Katanya, berdasarkan trend kemasukan kuota yang telah diluluskan untuk lima tahun terkini, ia tidak melebihi 80 peratus daripada keseluruhan kuota yang diluluskan.

Saifuddin berkata, beliau menjangkakan sejumlah 105,600 pekerja akan diberi Surat Kelulusan VDR daripada 132,000 kuota yang masih belum memohon Surat Kelulusan VDR.

Menurutnya, pelanjutan tempoh ini akan memberi manfaat kepada majikan terutama dalam sektor kritikal seperti di sektor perladangan.

“Majikan adalah dimohon untuk memanfaatkan sebaik-baiknya tempoh pelanjutan yang telah diberikan untuk mendapatkan Surat Kelulusan VDR. Ini bagi mengelakkan trafik yang tinggi di sistem pada saat-saat akhir sepertimana yang berlaku baru-baru ini,” katanya.

Katanya, kerajaan juga menetapkan tarikh akhir kemasukan pekerja asing sektor formal yang baharu dengan VDR adalah pada 31 Mei 2024 dan tiada lagi kemasukan pekerja asing sektor formal dari kuota yang aktif dibenarkan bermula 1 Jun 2024.

Selain itu, katanya, tempoh akhir kemasukan pekerja asing sektor formal pada tarikh 31 Mei 2024 walau bagaimanapun dikekalkan selari dengan sentimen pasaran yang memerlukan tenaga kerja dengan segera bagi mengelakkan situasi ‘manfaat tertangguh’.

Sementara itu, Saifuddin berkata, kerajaan telah bersetuju untuk menamatkan perkhidmatan Agensi Pengendali Permohonan Visa Malaysia (APPVM) di mana ianya bermula dengan negara Bangladesh pada 1 Januari lalu.

“Seterusnya, penamatan untuk lain-lain negara sumber termasuk dua (2) negara bukan sumber iaitu Singapura dan Hong Kong akan dibuat pada 31 Mei 2024. Manakala, penamatan APPVM bagi negara China akan dibuat pada 31 Disember 2024.

“Objektif utama penamatan ini untuk mempertingkatkan kecekapan proses pengambilan pekerja asing dengan mengurangkan lapisan birokrasi yang perlu dilalui majikan. Selain daripada itu, majikan tidak lagi dibebankan dengan kos yang perlu dibayar kepada APPVM.

“Setelah perkhidmatan APPVM Bangladesh ditamatkan, JIM telah meluluskan sebanyak 23,859 permohonan visa di Bangladesh bagi tempoh mulai 1 Januari hingga 3 April 2024,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN