JOHOR BAHRU: Kasut tumit tinggi yang didakwa mempunyai kalimah Allah yang dijual sebuah kedai di bandar raya ini telah dirampas pihak berkuasa.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, operasi pemantauan dan semakan telah dijalankan pihaknya hari ini.
Katanya, operasi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) dengan kerjasama polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor.
“Dalam operasi tersebut, beberapa pasang kasut berkenaan telah dirampas bagi tujuan siasatan lanjut.
“Rakyat Johor khususnya diminta bertenang dan membenarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan lebih lanjut berkenaan isu yang tular tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Kerajaan negeri kekal tegas dalam melaksanakan pemantauan yang berterusan dan tidak akan berkompromi sekiranya melibatkan persendaan dan penghinaan ke atas kalimah Allah dan kemuliaan agama Islam, tegasnya.
“Semoga Allah memberkati kita,” katanya.
Terdahulu, seorang pembeli meluahkan kekecewaannya apabila sebuah premis perniagaan di bandar raya ini menjual kasut yang didakwa memaparkan kalimah Allah pada bahagian tapaknya dengan harga RM99.99 sepasang. – UTUSAN










