Kalimah Allah pada tapak kasut, pembeli mohon tindakan tegas terhadap penjual - Utusan Malaysia

Kalimah Allah pada tapak kasut, pembeli mohon tindakan tegas terhadap penjual

SEPASANG kasut bertumit tinggi seakan-akan tertera kalimah Allah yang dijual di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Belum reda isu kalimah Allah pada stoking, kini seorang wanita mendakwa terbeli kasut yang turut tertera kalimah suci itu pada bahagian tapaknya.

Pembeli berkenaan, Hamizun Zainudin, 50, berkata, kasut tumit tinggi itu dibeli pada harga RM99.99 sepasang di sebuah kedai di pusat beli-belah terkemuka di bandar raya ini.

Dia hanya menyedari kalimah berkenaan setelah pulang ke kediamannya di Kukup, Pontian semalam.

“Kasut itu dibeli di sebuah kedai di tingkat dua. Saya beli tiga pasang kasut, tetapi saya terkejut apabila mendapat tahu sepasang daripadanya tertera kalimah seakan-akan ejaan Allah dalam tulisan Arab.

“Saya pergi kembali ke kedai tersebut untuk memulangkan kasut itu dan memberitahu pekerja kedai berkenaan. Mujurlah mereka pulangkan wang saya kembali. Saya kemudian bertanya kepada seorang pekerja Muslim mengapa menjual kasut yang tertera kalimah sedemikian, dia menjawab mereka tidak perasan.

“Saya beritahu telah buat laporan polis kemudian mereka menyimpan semua kasut tersebut. Difahamkan, pemilik premis mereka turut membuat laporan polis berhubung kejadian itu malam tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pekerja kedai turut memberitahu mereka telah melakukan pemeriksaan dan mendapati hanya jenama kasut bertumit tinggi itu yang mempunyai kalimah sedemikian.

“Apa yang mengecewakan saya adalah premis itu tetap menjual kasut itu walaupun ada tertera kalimah sedemikian kerana dimaklumkan ada beberapa pembeli lain turut memulangkan kasut berkenaan sebelum ini. Apabila saya buat pemeriksaan, saya dapati kejadian ini pernah didedahkan sejak 29 Mac lalu.

“Jadi saya harap tindakan tegas diambil pihak berwajib kerana perbuatan meletakkan kalimah Allah di tapak kaki tidak boleh dimaafkan. Umat Islam tidak pernah meletakkan simbol agama lain di tempat seperti itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN