SEREMBAN: Isu kekurangan jururawat di negara ini khususnya di hospital kerajaan serta fasiliti kesihatan swasta turut melibatkan dalam kalangan jururawat lelaki.
Pengerusi Persatuan Jururawat Islam Malaysia (Inam), Zamri Sahri berkata, ketika bilangan jururawat lelaki masih rendah berbanding jururawat wanita, golongan itu juga semakin ramai berhijrah untuk bekerja di luar negara.
“Saya tiada data namun daripada pemerhatian bukan hanya bilangan golongan lelaki yang memilih bidang kejururawatan kurang malah jururawat lelaki sedia ada yang kemudian berhenti dan bekerja sebagai jururawat di luar negara juga ramai.
“Sudah tentu lelaki lebih mudah untuk mobilisasi dan mandiri di luar negara berbanding wanita khususnya di tempat asing selain peranan penjagaan anak di rumah dengan lebih mudah bapa merantau dan meninggalkan anak-anak berbanding ibu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Beliau berkata, walaupun pandangan sinis masyarakat terhadap kerjaya sebagai jururawat lelaki tetapi tenaga kerja mereka sangat diperlukan dalam penjagaan kesihatan.
KERJAYA
“Kami di Inam juga sentiasa mempromosikan penglibatan golongan lelaki dalam kerjaya jururawat khususnya dalam menguruskan pesakit-pesakit lelaki.
“Permintaan terhadap golongan lelaki juga tinggi khususnya di unit-unit kritikal seperti kecemasan dan unit rawatan rapi (ICU) selain tempat-tempat yang memerlukan tenaga kerja yang lebih bagi mengangkat pesakit seperti di dewan pembedahan selain pengendalian mesin yang lebih teknikal.
“Selain itu, kehadiran jururawat lelaki adalah bagi memenuhi tuntutan syarii khususnya di negara Islam iaitu supaya pesakit lelaki dirawat oleh jururawat lelaki,” katanya.
Sementara itu, Zamri berkata, tawaran gaji dan imbuhan berganda tidak dapat dinafikan menjadi faktor ramai jururawat di negara ini khususnya jururawat di hospital kerajaan membuat keputusan berhenti dan berhijrah untuk bertugas di hospital di luar negara.
“Ini bukan isu baru namun sejak kebelakangan ini ia menjadi trend ketika kos hidup yang meningkat dan gaya hidup yang moden mereka memilih untuk bekerja di luar negara seperti di Singapura.
Beban kerja sama namun mereka boleh mendapat gaji yang berkali ganda ditambah Singapura juga tidak jauh berbanding mereka ke negara-negara Asia Barat,” katanya. – UTUSAN










