JTKSM laksana 240 operasi bersepadu sejak Januari - Utusan Malaysia

JTKSM laksana 240 operasi bersepadu sejak Januari

KAMAL Pardi (depan, kanan) melakukan tinjauan dalam premis kilang di Semambu, Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHEIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sejak Januari sehingga Mac lalu, sebanyak 240 operasi bersepadu dilaksanakan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) melibatkan 240 majikan seluruh negara.

Operasi tersebut mencatatkan 370 kertas siasatan dibuka dan daripada jumlah itu, 77 didakwa dengan nilai denda RM1,000.

Ketua Pengarah JTKSM, Kamal Pardi berkata, daripada jumlah operasi tersebut juga, sebanyak 35 kertas siasatan sudah dikenakan kompaun dengan tawaran kompaun bernilai RM425,000.

Katanya, hari ini, JTKSM bersama Jabatan
Tenaga Kerja (JTK) Pahang mengetuai pelaksanaan Operasi Bersepadu di sekitar daerah ini melibatkan lebih 60 majikan.

Jelasnya, operasi terbabit yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini sehingga esok itu turut disertai oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Human Resources Development Corporation (HRD Corp) serta Cawangan Kawal Selia dan Penguatkuasaan (CKSP) Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

“Hari ini, pasukan operasi melakukan operasi terhadap 26 majikan dalam pelbagai latar belakang sektor. Sepanjang operasi, kita dapati terdapat beberapa majikan dikesan tidak mematuhi peruntukan perundangan perburuhan termasuk Perintah Gaji Minimum Negara 2011, Akta 800 di bawah PERKESO dan juga akta di bawah JKKP.

“Kesemua kesalahan ini akan diambil tindakan selaras perundangan mengikut jabatan dan agensi yang terlibat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kata Kamal, terdapat majikan diperiksa wajar diberikan pujian berikutan menggajikan 100 peratus tenaga kerja tempatan.

“Ini membuktikan bahawa keutamaan pekerjaan perlu diberikan kepada warga
tempatan terlebih dahulu.

“Selain itu, majikan ini cukup menjaga kebajikan pekerja memandangkan ada beberapa pekerja yang telah berkhidmat dengan majikan yang sama selama lebih 30 tahun,” katanya.

Dalam pada itu beliau memberitahu, operasi bersepadu seumpama itu akan diteruskan bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang perburuhan negara dapat disebarluaskan dan khidmat nasihat dapat diberikan secara terus kepada para majikan.

“Operasi ini perlu dalam memastikan pemain industri meningkatkan pematuhan terhadap semua akta yang dikuatkuasakan di bawah KESUMA tanpa mengira jabatan dan agensi.

“KESUMA melalui JTKSM dan juga jabatan serta agensi di bawahnya akan terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan berdasarkan lunas perundangan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang melanggar perundangan perburuhan negara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN