JKNP rampas ubat, kosmetik bernilai RM1 juta dijual secara haram melalui e-dagang - Utusan Malaysia

JKNP rampas ubat, kosmetik bernilai RM1 juta dijual secara haram melalui e-dagang

PENGARAH Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan, Mohd. Zawawi Abdullah (tiga dari kiri) dan Dr. Rusdi Abd. Rahman (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian ubat dan kosmetik yang dirampas. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) berjaya merampas 116 ubat tidak berdaftar dan 49 kosmetik tidak bernotifikasi dengan nilai rampasan berjumlah RM1 juta.

Rampasan terbabit dilakukan dalam operasi dinamakan Operasi LHT di tiga buah premis kediaman dan sebuah kenderaan di sekitar daerah ini, semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, operasi itu diketuai Cawangan Penguatkuasa (CP) Pahang dengan kerjasama Ibu Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan, CP Selangor, CPF Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, operasi dan risikan yang dijalankan selama enam bulan terbabit adalah berikutan aduan yang diterima oleh CPF Pahang dari orang awam berkenaan penjualan ubat-ubatan yang disyaki tidak berdaftar melalui platform e-dagang oleh sebuah syarikat tempatan.

“Hasil pemeriksaan di tiga buah premis kediaman dan sebuah kenderaan milik syarikat itu menemukan 116 ubat tidak berdaftar dan 49 kosmetik tidak bernotifikasi. Turut dijumpai empat peranti digital yang digunakan bagi tujuan jualan secara dalam talian tersebut.

“Kesemua ubat tidak berdaftar, kosmetik tidak bernotifikasi dan peranti digital ini dirampas,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Rusdi berkata, daripada hasil siasatan terhadap syarikat dan individu terlibat juga mendapati suspek sudah bergiat aktif menjual ubat-ubatan berkenaan secara dalam talian sejak sekian lama.

“Antara jenis ubatan yang dijual termasuklah ubat antibiotik untuk penyakit kulit selain ubat makan untuk masalah sakit sendi dan tenaga batin. Kesemua ubat ini dijual di atas talian pada harga yang rendah,” katanya.

Beliau juga memberitahu, tindakan mahkamah akan diambil terhadap syarikat dan individu terlibat berikutan penjualan ubat-ubatan tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi adalah melanggar Peraturan 7(1)(a) dan Peraturan 18A(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.

“Bagi kesalahan itu, jika didapati bersalah suspek boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Bagi syarikat yang melakukan kesalahan yang sama boleh didenda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN