SEREMBAN: Jenazah Allahyarham Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohd. Marzukhi tiba di kediaman keluarganya di Taman Senawang Perdana, di sini kira-kira pukul 9.05 malam tadi.
Ketibaan jenazah yang diiringi isteri dan kedua ibu bapanya itu dari Kem 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Perak itu disambut anggota TLDM berpakaian istiadat yang kemudian mengusung keranda dilitupi panji perkhidmatan TLDM untuk penghormatan terakhir oleh ahli keluarga.
Setengah jam kemudian, jenazah seterusnya dibawa ke Masjid At-Taufiqiah di sini untuk solat jenazah kali kedua dan kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights, Senawang di sini.
Yang turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah dan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Allahyarham iaitu Pegawai Taktikal Udara Skuadron 503 merupakan salah seorang daripada 10 pegawai dan anggota TLDM yang terkorban dalam tragedi dua helikopter pasukan itu yang bertembung sebelum terhempas semasa raptai perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, semalam.
Arwah meninggalkan seorang balu, Siti Aisyah Mohd. Roslan, 34, dan dua orang anak iaitu Umar Fayyadh dan Ammar Affan masing-masing berusia tujuh dan dua tahun.-UTUSAN.










