PASIR PUTEH: Jenayah seksual di Kelantan mencatatkan peningkatan sebanyak lapan peratus pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, sebanyak 90 kes jenayah seksual melibatkan rogol, seks di luar tabii dan amang seksual dilaporkan berlaku bermula Januari hingga April ini.
Menurutnya, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 28 kes dalam tempoh sama pada tahun lalu.
“Kes rogol sepanjang suku pertama tahun lalu dilaporkan sebanyak 34 kes, namun meningkat kepada 49 kes tahun ini manakala kes liwat naik daripada satu kepada enam kes.
“Bagi kes mengedar gambar lucah, ia meningkat daripada satu kes kepada lima kes dan seksual kanak-kanak pula 19 kes kepada 26 kes pada tahun ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penutup Program Cinta dan Air Mata yang melibatkan 100 pemimpin pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti seluruh negara di Jeram Mengaji, di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, sehubungan itu, pendidikan dan kesedaran kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk institusi kekeluargaan perlu untuk membantu penurunan kes jenayah seksual.
Katanya, pelbagai agensi berkaitan emosi dan kekeluargaan perlu mendekati kumpulan sasar untuk membantu mereka.-UTUSAN











