Isu stoking: Juruteknik dibicarakan semula

Isu stoking: Juruteknik dibicarakan semula

Chiok Wai Loong dibawa ke Mahkamah Sesyen Jenayah (Siber) Kuala Lumpur 22 Mac lalu atas pertuduhan kes posting menghina agama Islam berkaitan isu penjualan stoking bertulisan kalimah Allah. – GAMBAR FAIL/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam membatalkan pengakuan bersalah dan hukuman penjara enam bulan serta denda RM12,000 terhadap seorang bekas juruteknik aplikasi sosial kerana membuat hantaran bersifat jelik melibatkan isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah, bulan lalu.

Hakim Datuk Ahmad Bache memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan semakan Chiok Wai Loong, 34, dan memerintahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen berlainan agar pertuduhan sama dibacakan semula terhadapnya.

Tertuduh kemudian me­ngaku tidak bersalah di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali atas pertuduhan itu dan dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin. Tarikh sebutan ditetapkan pada 23 Mei ini.

Hakim Ahmad mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen terdahulu yang mensabit dan menghukumnya selepas ber­puas hati, keseluruhan prosiding pendakwaan terhadap pemohon pada 22 Mac lalu dikendalikan secara tidak adil.

Hakim Ahmad berpendapat, hakim berkenaan tidak merekodkan dalam nota keterangan bahawa Wai Loong telah di­terangkan ‘sebab dan akibat’ pe­ngakuan bersalahnya.

“Pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dan tertuduh me­ngaku bersalah, namun hakim berkenaan tidak membuat catatan bahawa beliau telah menjelaskan ‘sebab dan akibat’ pe­ngakuan bersalah itu.

“Tindakan tersebut bercanggah dengan amalan biasa yang memerlukan hakim atau majistret merekodkan atau membuat catatan bahawa tertuduh telah diberi penjelasan ketika prosi­ding,’’ ujar beliau.

Hakim Ahmad turut menarik perhatian semua pihak dengan mengingatkan para hakim dan majistret supaya memerhatikan semula amalan pegawai kehakiman bagi memastikan tertuduh melalui prosiding yang adil.

Mahkamah juga berpuas hati, pemohon tidak diwakili peguam dan tidak mengetahui selok belok undang-undang manakala pertuduhan yang dikenakan terlalu panjang yang tidak memungkinkan ia difahami oleh orang awam sepertinya.

Menurut Hakim Ahmad, hasil pemerhatian beliau terhadap nota prosiding mendapati, pendakwaan dikendalikan dalam keadaan agak tergesa-gesa.

“Mahkamah membatalkan keputusan hakim Mahkamah Sesyen dan memerintahkan kes dihantar semula di hadapan hakim berlainan agar pengakuan direkodkan semula,” ujar beliau ketika membacakan keputusannya.

Wai Long sebelum ini didakwa di hadapan Hakim Suzana Hussin atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, menggunakan nama profil `Chiok Wai Loong’ pada 18 Mac lalu.

Hantaran itu kemudian telah dibaca dan dilihat pada hari yang sama pukul 3.00 pagi di daerah Brickfields di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 231(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 233(3) akta sama yang memperuntukan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam N. Surendran yang mewakili Wai Loong berhujah, anak guamnya tidak mendapat prosiding yang adil kerana tidak dijelaskan `sebab dan akibat’ pengakuan bersalahnya.

Hujah beliau, tertuduh tidak memahami intipati pertuduhan selain berkali-kali menegaskan dia tidak berniat melakukannya meskipun memahami fakta kes yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datin Kalmizah Salleh berhujah, pengakuan bersalah tertuduh boleh diterima kerana ia telah diterangkan manakala hukuman dijatuhkan selepas beliau mendengar rayuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN