PETALING JAYA: Harga barang, nilai ringgit yang merosot dan isu perkauman serta agama antara perkara yang dijangka menghangatkan lagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Ariff Aizuddin Azlan berkata, pembangkang pasti menggunakan isu-isu tersebut untuk meraih sokongan.
Selain itu, beliau juga menjangkakan PRK itu berlangsung dalam suasana cukup kritikal kerana kerajaan perpaduan perlu mempertahankan kerusi tersebut.
STATUS QUO
“Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengekalkan status quo kerusi itu kerana kesan daripada PRK akan menggambarkan realiti dan penerimaan rakyat terhadap pentadbiran beliau, jadi akan ada tekanan di situ,” katanya.
Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.
Kee Hiong, 58, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013 meninggal dunia selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN itu pada 11 Mei, manakala 27 April sebagai hari penamaan calon.
Dalam pada itu, Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr. Mazlan Ali berkata, isu titah tambahan berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga akan menjadi permainan kali ini.
“Saya menjangkakan banyak isu panas dan kritikal yang akan digunakan dalam PRK kali ini termasuk afidavit Zahid (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi),” jelasnya.
Sementara itu, Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming meminta UMNO membantu kempen parti itu dalam PRK itu seperti mana DAP membantu UMNO dalam PRK Pelangai pada tahun lalu.
Katanya, di Pelangai, DAP berhempas-pulas untuk memenangkan calon UMNO sehingga berjaya meraih 98 peratus undi khususnya pengundi kaum Tionghoa.
“Tidak pernah berlaku dalam sejarah. UMNO tak pernah dapat 98 peratus undi Cina. Tetapi dengan semangat perpaduan ini, kejayaan ini adalah satu rekod yang boleh dibanggakan,” katanya.
“Saya memohon semangat Pelangai dapat ditunjukkan di Kuala Kubu Baharu bagaimana DAP berkempen habis-habisan untuk UMNO, UMNO juga akan buat yang sama,” katanya. – UTUSAN










