SEREMBAN: Sambutan Ramadan ketika ini dan Aidilfitri yang bakal menjelang, lebih ceria buat penduduk di kawasan Lobak di sini berbanding tahun sebelumnya apabila kawasan Dataran Lobak dihiasi lampu-lampu hiasan bertemakan Hari Raya Aidilfitri.
Pelbagai lampu hiasan dengan rekaan seperti ketupat, lemang dan pelita menarik perhatian dan kunjungan penduduk malahan pengguna jalan raya yang lain.
Ironinya, walaupun kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lobak bukanlah merupakan kawasan majoriti penduduk Melayu, namun kewujudan hiasan lampu-lampu di Dataran Lobak itu tetap menarik kunjungan golongan masyarakat Cina dan India untuk turut sama merakam gambar kenangan di situ.
Perkara itu juga diakui seorang pengurus sebuah syarikat swasta, Ny Goh, 45, yang tidak mahu ketinggalan dengan membawa bersama dua anak saudaranya.
“Saya tinggal berdekatan kawasan ini sahaja, idea dan inisiatif yang diambil memang menarik perhatian orang ramai. Lampu-lampu hiasan ini berjaya menghidup dan menceriakan lagi kawasan ini.
“Sebelum ini lampu-lampu bertemakan perayaan Tahun Baharu Cina juga dipasang di sini, kali ini bertemakan Hari Raya pula. Ia tidak hanya memberikan orang ramai bergambar dengan lampu-lampu berwarna-warni di sini malah secara tidak langsung ia membolehkan mereka mengetahui perayaan serta budaya masyarakat yang lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Menurut pelajar Institut Pendidikan Guru, Kampus Raja Melewar di Sikamat, P. Rutrapriya, 22, pula, dia singgah ke kawasan itu selepas tertarik konsep hiasan lampu yang ditampilkan.
“Saya bersama dua orang rakan kebetulan baru sahaja selesai makan malam di sebuah kedai berhampiran kemudian terlihat lampu-lampu hiasan yang ada di sini. Memang sangat menarik jadi kami singgah sebentar dan merakam gambar kenangan bersama di sini,” katanya lagi.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak, Chew Seh Yong berkata, inisiatif pemasangan lampu hiasan tersebut diambil oleh pihaknya sebagai usaha untuk mengukuhkan perpaduan di antara kaum di kawasan itu.
“Sebelum ini kami pasang lampu hiasan sempena tahun baharu Cina dan kali ini tiba giliran untuk tema hari raya pula, hiasan ini akan dipasang sehingga habis bulan Syawal nanti. Selepas ini memang kami bercadang untuk memasang hiasan lampu bertemakan perayaan lain seperti Hari Deepavali dan Krismas juga.
“Penduduk setempat bersama-sama menghiasa kawasan ini selain kami juga mendapat bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya yang memberitahu lampu-lampu hiasan itu telah mula dipasang sejak awal Ramadan lalu. – UTUSAN










