Ejen perisik atau cari penjenayah seteru?

Ejen perisik atau cari penjenayah seteru?

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat motif sebenar keberadaan lelaki warga Israel di negara ini yang ditahan di sebuah hotel, Rabu lalu.

Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan pihaknya kini menumpukan kepada pergerakan suspek sepanjang berada di negara ini pada 12 Mac lalu.

“Kita sedang kenal pasti siapa yang dia (suspek) jumpa, latar belakangnya dan apa-apa maklumat boleh digunakan dalam siasatan.

“Ini termasuk kemungkinan elemen yang dikaitkan dengan isu Palestin dan Israel,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam pada itu, Razarudin berkata, siasatan setakat ini dilakukan secara menyeluruh termasuk kemungkinan suspek terlibat dalam ejen perisikan Israel selain dakwaan ingin mencari penjenayah seteru.

Bagaimanapun, jelas beliau, pi­haknya meminta orang ramai tidak menimbulkan spekulasi dan menyerahkan kepada pihak polis menjalankan siasatan lanjut.

“Kita sedang siasat motif sebenar suspek. Beri pihak polis ruang, namun kita tidak menolak kemungkinan suspek boleh memberi ancaman kepada pemimpin-pemimpin negara termasuk Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan pemimpin Hamas atau pegawai tertinggi kerajaan asing selain keselamatan rakyat negara kita sendiri.

“Pihak polis sentiasa meningkatkan kawalan keselamatan negara bagi memastikan keamanan negara terjamin,” katanya.

Kelmarin, polis mengesahkan sedang menyiasat semua dakwaan berkaitan lelaki Israel yang ditahan di Ampang Rabu lalu termasuk kemungkinan dia dalam misi mencari ketua penjenayah seteru yang dikatakan berada di negara ini.

Razarudin dilaporkan berkata, siasatan semua aspek sedang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman termasuk mengenal pasti kemungkinan terdapat lagi penglibatan individu lain dikaitkan dengan lelaki Israel berusia 36 tahun yang ditangkap itu.

“Kita akan siasat semua kemungkinan termasuk dakwaan-dakwaan daripada semua sumber berita,’’ kata beliau.

Sumber keselamatan dilaporkan berkata, siasatan polis ke atas lelaki Israel itu kini fokus kepada kemungkinan suspek masuk ke Malaysia sebagai koordinator bagi mengupah beberapa individu melakukan pembunuhan di negara ini.

Kata sumber, suspek dipercayai telah mengupah beberapa individu dengan bayaran lebih setengah juta untuk mencari dan membunuh individu ter­tentu yang polis sedang mengenal pasti identiti pihak yang menjadi sasarannya.

“Kemungkinan siasatan tertumpu kepada peranan lelaki terbabit bergerak sebagai koordinator untuk mengupah beberapa individu lain yang terdiri dalam kalangan warga asing untuk melakukan perbuatan itu.

“Polis tidak menolak kemungkinan suspek mengupah rakyat Thailand, Filipina atau mana-mana warga asing yang sanggup membuat serangan tersebut kerana upah ditawarkan sampai setengah juta,” kata sumber.

Namun, kata sumber itu lagi, misi suspek tergendala apabila dia ditahan bersama enam senjata api yang dibeli menggunakan mata wang kripto.

Suspek itu disyaki telah menawarkan upah kepada individu disyaki rakyat tempatan dengan bayaran lebih RM500,000 untuk mencari dan membunuh seseorang.

Bagaimanapun, identiti pe­nama berkenaan tidak dapat dipastikan sama ada rakyat Israel yang didakwa dicari suspek berkenaan atau sasaran lain terdiri daripada individu berprofil tinggi di negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×