JOHOR BAHRU: Dua beranak dan seorang wanita warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas dua pertuduhan memperdagangkan dua wanita bagi tujuan eksploitasi seks, bulan lalu.
Walau bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh.
Yiga tertuduh, Lu Yon Moi, 65; dan anaknya, Tin Chee Keng, 42, serta Nurul Hasanah, 26, hanya mengangguk tanda fahaman selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, A. Shaarmini.
Bagi pertuduhan pertama, mereka secara bersama telah memperdagangkan seorang wanita Indonesia berusia 25 tahun bagi maksud eksploitasi seks di Kampung Baru Masai, Pasir Gudang pada pukul 9 malam antara 17 hingga 20 Mac lalu.

Mereka turut didakwa melakukan perbuatan sama ke atas seorang wanita tempatan yang berusia 29 tahun di sebuah kedai urut di kawasan Seri Alam, di sini pada pukul 3 petang pada 14 hingga 19 Mac lalu.
Bagi kedua-dua perbuatan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 12 Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang boleh dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, R. Kodesviary memohon jumlah jaminan ditetapkan sebanyak RM30,000 setiap seorang.
Namun, ketiga-tiga tertuduh yang diwakili peguam bela, Baharudin Baharim meminta jumlah jaminan itu dikurangkan.
Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM20,000 setiap seorang dengan dua penjamin untuk Yon Moi dan Chee Keng, manakala Nurul Hasanah pula diberi ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan dua penjamin.
Mahkamah turut mengarahkan kesemua mereka menyerahkan pasport antarabangsa dan menetapkan 8 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN










