JOHOR BAHRU: Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard tiba di Kompleks Mahkamah, di sini pukul 8.50 pagi tadi.
Chegu Bard hadir ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru dengan memakai kemeja putih diiringi peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali.
Beliau dijangka berdepan satu lagi pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 berkaitan hantaran mengenai projek kasino di Forest City menerusi media sosial.
Semalam, Badrul Hisham, 45, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan memfitnah dan menghasut untuk merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.
Beliau mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan memfitnah dan menghasut dibacakan di hadapan Hakim, Siti Aminah Ghazali.
Kelmarin, Chegu Bard ditahan polis dipercayai berkaitan satu hantaran dalam media sosial mengenai projek kasino di Forest City.
Menurut peguamnya, Chegu Bard ditahan di kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Tapah, Perak kira-kira pukul 7 malam sebelum dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini.
Terdahulu, Chegu Bard didakwa menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai hab kewangan yang akan dibina di Forest City, Johor, menerusi satu hantaran dalam Facebooknya.
Beliau didakwa turut berterima kasih kepada agensi berita Business Times Singapore dan Bloomberg kerana melaporkan berita berkenaan kepada umum. – UTUSAN










