PETALING JAYA: Dua pengarah syarikat masing-masing didenda RM8,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan berasingan kerana melanggar Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986 berkaitan penjilidan 3,800 naskhah kitab suci itu, bulan lalu.
Pengarah Tihani Cetak Sdn. Bhd., Muhammad Hatim Ab. Wahab, 34, mengaku membenarkan 3,800 naskhah al-Quran dijilid oleh syarikat yang dimiliki oleh bukan Islam.
Sementara itu, pengarah syarikat penjilidan, Hua Mei Industry Sdn. Bhd., Sum Yew Hom, 41, mengaku membantu pencetakan teks al-Quran dengan cara menjilid 3,800 naskhah kitab itu tanpa lesen yang dikeluarkan oleh Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ).
Kedua-dua lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu pada masa yang sama kira-kira pukul 3.05 petang, pada 7 Mac lalu di syarikat Hua Mei Sdn. Bhd. beralamat di No. 6, Lot 4006, Jalan BS 9/13 Taman Bukit Serdang, Seksyen 9, Seri Kembangan dekat sini.
Pendakwaan terhadap Muhammad Hatim dibuat mengikut Seksyen 5(7) manakala Yew Hom mengikut Seksyen 5(1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.
Majistret Farah Azura Mohd. Saad memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda. Kedua-duanya tidak diwakili peguam.
Pada prosiding itu, Farah Azura menegur Muhammad Hatim kerana tidak menjaga sensitiviti masyarakat berkaitan proses pencetakan al-Quran walhal dia telah diberi lesen oleh LPPPQ.
“Awak orang Islam kena tahu benda ini (cetak al-Quran) berkaitan sensitiviti masyarakat dan sebagainya. Awak ada kuasa untuk cetak, jadi awak kena tahu siapa yang boleh buat kerja berkaitan dengan al-Quran.
“Sepatutnya awak kena tahu, dia (syarikat bukan Islam) hanya terima untuk siapkan proses penjilidan. Tidak perlu diajar, kita orang Islam kena tahu. Memang pekerja di syarikat itu beragama Islam, tapi kena jaga sensitiviti masyarakat,” ujar beliau.
Terdahulu, Muhammad Hatim merayu hukuman ringan selepas mengaku terlepas pandang kerana memberikan proses penjilidan itu kepada syarikat bukan Islam meskipun kebanyakan pekerjanya beragama Islam.
Ujarnya, Hua Mei Industry Sdn. Bhd. mempunyai kelengkapan untuk menjilidkan al-Quran.
Sementara itu, Yew Hom merayu denda minumum atas alasan tidak mengetahui proses penjilidan al-Quran yang dilakukan syarikat bukan Islam merupakan satu kesalahan.
“Saya diupah untuk menjlid al-Quran saja, saya tidak tahu itu kesalahan. Kesalahan ini yang pertama, mohon hukuman dikurangkan,” katanya.
Pegawai Pendakwa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Selangor, Surieyani A. Razak memohon hukuman setimpal sebagai peringatan dan pengajaran kepada tertuduh-tertuduh dan kepada pihak lain supaya menjaga sensitiviti umat Islam.
Ujar beliau, meskipun Muhammad Hatim tiada rekod jenayah, tertuduh didapati melanggar syarat yang menyebut seluruh proses percetakan dan pengedaran dan penjualan al-Quran dilakukan oleh orang Islam.
Surieyani memohon mahkamah menerima kesalahan itu sebagai sesuatu yang serius supaya industri percetakan lebih bertanggungjawab terhadap penjagaan dan pengendalian al-Quran. – UTUSAN










