Bomba ambil masa enam jam keluarkan pemandu lori dalam timbunan besi - Utusan Malaysia

Bomba ambil masa enam jam keluarkan pemandu lori dalam timbunan besi

ANGGOTA bomba terpaksa memotong besi satu persatu dengan menggunakan peralatan khas iaitu 'power unit' dan 'circular saw' bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Seorang pemandu lori parah apabila treler muatan besi tetulang yang dipandunya terjunam ke bawah cerun berketinggian 12.192 meter di laluan Lingkaran Tengah Utama (CSR) berhampiran simpang Chegar Perah di sini tengah malam tadi.

Difahamkan, pasukan bomba yang dikejarkan ke lokasi mengambil masa hampir enam jam bagi mengeluarkan mangsa, Mohd. Fakrulrazi Che Mohamad, 24, yang tersepit dibawah kepala lori dan timbunan besi.

Kejadian itu juga turut mengakibatkan kelindan lori, Mohd. Fahmi Ikmal Che Mohamad, 19, mengalami cedera ringan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lipis, Haslizan Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 12.43 tengah malam tadi sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari BBP Lipis dibantu anggota bomba dari Pusat Mencari dan Menyelamat Gunung Tahan (MOSAR), Merapoh dan BBP Gua Musang dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di tempat kejadian didapati berlaku kemalangan melibatkan sebuah lori treler muatan besi tetulang yang terjunam di bawah cerun.

“Terdapat seorang lelaki dewasa berjaya keluar dari lori dan seorang lagi lelaki dewasa berada di bawah kepala lori treler dan timbunan besi,” katanya di sini hari ini.

Haslizan berkata, pasukan bomba terpaksa mengalihkan dan memotong besi yang dibawa bagi membuka jalan untuk anggota bomba mengeluarkan mangsa.

“Kita terpaksa menggunakan kaedah manual iaitu memotong besi satu persatu dengan menggunakan peralatan khas iaitu ‘power unit’ dan ‘circular saw’. Ia mengambil masa hampir enam jam bagi operasi menyelamat.

“Ini bagi memastikan mangsa yang tersepit di bawah timbunan tidak terkena besi sekaligus mengelakkan kecederaan yang lebih serius,” jelasnya.

Beliau berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kaki telah berjaya dibawa keluar dengan menggunakan pengusung dan tali.

“Mangsa yang cedera diserahkan kepada pegawai perubatan Kementerian Kesihatan yang bertugas dan dihantar ke Hospital Kuala Lipis bagi menerima rawatan lanjut. Operasi tamat sepenuhnya pukul 10.10 pagi tadi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini