Allahyarham Mohammad Amirulfaris selamat dikebumikan - Utusan Malaysia

Allahyarham Mohammad Amirulfaris selamat dikebumikan

SITI Aisyah Mohd. Roslan menabur bunga di pusara suaminya, Allahyarham Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohd. Marzukhi yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights, Senawang, Seremban, malam ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jenazah Pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Allahyarham Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohd. Marzukhi, 35, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights, Senawang, di sini, kira-kira pukul 11 malam tadi.

Istiadat pengembumian dilakukan mengikut tradisi TLDM itu dihadiri kira-kira 500 orang terdiri daripada ahli keluarga,  saudara-mara, sahabat-handai, warga tentera serta penduduk sekitar.

Sebelum dibawa ke tanah perkuburan berkenaan, jenazah Allahyarham telah dibawa pulang ke kediaman keluarga di Taman Senawang Perdana di sini sebelum ke Masjid At-Taufiqiah di Taman Pinggiran Senawang untuk disolatkan kali kedua.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir di masjid ialah Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah dan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Yang hadir sama, Laksamana Pertama Azman Rabani selaku wakil Jawatankuasa Laksamana TLDM yang menyampaikan Panji TLDM kepada balu Allahyarham.

Yang turut hadir, Panglima Briged Pertama Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Mohamad Noorlizam Shamsudin.

Allahyarham iaitu Pegawai Taktikal Udara Skuadron 503 merupakan salah seorang daripada 10 pegawai dan anggota TLDM yang terkorban dalam tragedi dua helikopter pasukan itu yang bertembung sebelum terhempas semasa raptai perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, semalam.

Arwah meninggalkan  balu, Siti Aisyah Mohd. Roslan, 34, dan dua orang anak iaitu Umar Fayyadh dan Ammar Affan masing-masing berusia tujuh dan dua tahun.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×