PETALING JAYA: Sebanyak 807 projek perumahan swasta bernilai RM201.75 bilion dikategorikan sebagai lewat, sakit dan terbengkalai direkodkan sehingga Februari lalu.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 462 dikategori sakit dengan nilai RM73.08 bilion, 230 projek lewat (RM112.08 bilion) manakala 115 lagi projek disahkan terbengkalai (RM16.59 bilion) dikesan di seluruh negara.
Berdasarkan statistik Pasukan Khas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST), secara keseluruhannya projek lewat, sakit dan terbengkalai tersebut membabitkan 165,389 unit kediaman yang belum boleh diduduki oleh pembeli.
Timbalan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, sepanjang dua bulan pertama penubuhan TFST, pihaknya melaksanakan lawatan tapak dan pemantauan secara rapi sebagai agenda tetap dan akan dipergiatkan dalam usaha menyelesaikan masalah-masalah tersebut.
Menurut beliau, bagi suku tahun pertama 2024, sejumlah empat lawatan tapak projek perumahan swasta lewat dan sakit telah diadakan membabitkan dua projek di Seberang Perai, Pulau Pinang dan masing-masing satu di Shah Alam, Selangor serta Langkap, Perak.
“Libat urus bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi teknikal terus diadakan di tapak projek bagi mencapai kata sepakat dan penyelesaian terhadap isu-isu berbangkit. Seterusnya, pemaju sedang mengambil tindakan bagi memenuhi syarat untuk penyiapan projek.
AKTIVITI
“TFST juga perlu mempergiatkan aktiviti libat urus bersama agensi teknikal, kerajaan negeri, PBT, institusi kewangan, turun padang serta pemantauan menyeluruh terhadap kemajuan projek-projek tersebut terutamanya yang sedang dipulihkan.
“TFST juga akan berusaha dan bergiat aktif bagi memastikan unjuran projek perumahan swasta sakit berakhir pada Disember 2024 adalah kekal atau kurang daripada 505 projek perumahan sakit seperti yang disasarkan,” kata beliau pada sidang media di Parlimen semalam.
Mengulas lanjut, Aiman Athirah memaklumkan sehingga 29 Februari lalu, sebanyak 88 projek iaitu sebanyak 10,560 unit perumahan swasta telah berjaya dipulihkan dengan nilai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM8.23 bilion.
“Jumlah projek yang berjaya ini merangkumi 81 projek yang telah mendapat Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), lima projek berstatus sakit kembali menjadi lancar dan dua projek terbengkalai telah dipulihkan,” katanya.
Dua projek perumahan swasta terbengkalai yang berjaya diselesaikan tersebut membabitkan projek di Taman Daya (Astana Square), Kepong, Selangor selepas ia memperoleh Sijil Kelayakan Menduduki (CFO).
Perpaduan Heights Fasa 1 dan 2, Kuala Pilah, Negeri Sembilan yang dilaksanakan melalui kaedah penyelesaian pembeli oleh kerajaan negeri.
Tegasnya, KPKT sedia bekerjasama dengan pihak berkepentingan serta sentiasa komited untuk menangani masalah projek sakit dan terbengkalai di seluruh negara.
“Ia adalah bagi menjayakan agenda utama KPKT iaitu demi kesejahteraan pembeli rumah yang terjejas,” katanya. – UTUSAN










