TEMERLOH: Sebanyak 5,000 kampit beras lima kilogram (kg) yang diedarkan secara percuma kepada orang ramai habis satu jam selepas disumbangkan syarikat pengeluar tudung, Kekaboo Sdn. Bhd. di tapak niaga Majlis Perbandaran Temerloh, Kuala Krau di sini.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, Jamian Johari, 40, berkata, sumbangan itu cukup bermakna di sebalik kesukaran membeli beras putih tempatan ketika ini.
“Saya bersyukur dengan pemberian beras ini yang sedikit sebanyak membantu kami mengurangkan beban ekoran kenaikan kos sara hidup.
“Terima kasih kepada pihak yang memberikan bantuan ini dan diharap pada masa depan lebih banyak bantuan seperti ini diberikan,” katanya.
Suri rumah, Hasnah Abdul Rahim, 38, mendoakan agar penyumbang beras percuma terbabit terus dilimpahi rezeki dan dapat meneruskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti itu lagi.
Pengasas bersama Kekaboo, Nurhazwani Abdul Zainal berkata, program sumbangan beras di Kuala Krau sudah dirancang lebih awal tanpa dipengaruhi isu pelupusan bekalan itu dan lain-lain barangan dapur di Rumpun Makmur di sini baru-baru ini.
“Pada mulanya saya risau kerana ini program pertama di sini tetapi saya bersyukur dan tidak sangka sambutan luar biasa daripada orang ramai.
“Sebenarnya saya terpanggil melaksanakan sumbangan ini memandangkan saya berasal dari Kuala Krau manakakala suami dari Jengka, jadi kami ingin berkongsi rezeki,” katanya.
Terdahulu, tular gambar puluhan kampit beras, sardin dan tepung dibuang di kawasan pelupusan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur-Kampung Gunung Senyum.










