18 subjek UiTM tersenarai dalam QS World University Rankings

18 subjek UiTM tersenarai dalam QS World University Rankings 2024

UiTM mencatat pencapaian terbaik dalam sejarahnya, menyaksikan 18 matapelajaran merentasi empat bidang utama, disenarai dalam penarafan Quacquarelli Symonds World University Rankings (QS-WUR) by Subject 2024
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi Mara (UiTM) mencatat pencapaian terbaik dalam sejarahnya apabila  18 subjek ditawarkan merentasi empat bidang utama tersenarai dalam penarafan Quacquarelli Symonds World University Rankings (QS-WUR) by Subject 2024.

UiTM dalam kenyataan berkata, kejayaan itu sekali gus mengatasi pencapaian tahun lalu dengan 13 matapelajaran merentasi tiga bidang utama.

Pencapaian paling ketara ialah matapelajaran Fizik dan Astronomi yang disenarai untuk kali pertama dalam sejarah UiTM, menyaksikan kedudukannya berada dalam 551 hingga 600.

“Secara keseluruhan, pada tahun ini tujuh matapelajaran menunjukkan peningkatan iaitu Seni dan Reka Bentuk; Farmasi dan Farmakologi; Kejuruteraan Elektrik; Pengajian Perniagaan dan Pengurusan; Ekonomi dan Ekonometrik; Kejuruteraan Mekanikal, Aeronautik dan Pembuatan serta Sains Komputer dan Sistem Maklumat,” kata kenyataan.

Selain itu, matapelajaran Pendidikan juga berada dalam kedudukan 351 hingga 400 sejak kali terakhir disenarai tiga tahun lalu, manakala Kimia berada dalam kedudukan 551 hingga 600 sejak kali terakhir disenarai pada 2021.

Pengurusan Hospitaliti dan Rekreasi pula terus mengekalkan kedudukannya sebagai matapelajaran terbaik UiTM apabila tersenarai dalam kedudukan 50 hingga 100 di dunia.

Jelasnya, Kejuruteraan Petroleum kekal pada kedudukan 150 terbaik dunia bagi empat tahun berturut-turut.

UiTM berkata, Seni dan Reka Bentuk melonjak pada kedudukan 200 terbaik berbanding kedudukan 240 pada tahun lalu.

Matapelajaran lain yang disenarai ialah Seni Bina/Persekitaran Binaan, Perakaunan dan Kewangan, Undang-undang, Kejuruteraan Kimia, Pertanian dan Perhutanan serta Perubatan.

Sementara itu, bagi bidang utama, kemasukan Sains Hayat dan Perubatan buat kali pertama dalam penarafan tersebut meningkatkan kedudukan UiTM.

Katanya, Sains Sosial dan Pengurusan terus menjadi bidang terkuat UiTM dengan mengekalkan kedudukannya pada tangga 361, manakala kedudukan bidang Kejuruteraan dan Teknologi meningkat ketara daripada kedudukan 451 hingga 500 pada tahun lalu kepada 388 pada tahun ini.

“Bidang Seni dan Kemanusiaan juga bertambah baik daripada kedudukan 451 hingga 500 pada tahun lepas kepada 401 hingga 450 pada tahun ini,” katanya.

Pada tahun ini, 1,561 institusi disenarai merentasi 55 subjek dan lima bidang utama.

Dalam pada itu, Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib berkata, maklumat diterima hari istimewa iaitu ketika masyarakat Malaysia menyambut Aidilfitri.

“Pencapaian ini mencerminkan semangat kebersamaan dan persefahaman dalam kalangan warga UiTM mengenai hala tuju dan matlamat institusi ini.

“Tahniah kepada semua warga UiTM atas pencapaian membanggakan ini. Semoga pencapaian ini terus menyemarakkan semangat kita semua untuk meneruskan matlamat strategik ke arah menjadi Universiti Terkemuka Dunia menjelang 2025,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN