142 orang penghuni PPA Machang dibebaskan sempena Aidilfitri

142 orang penghuni PPA Machang dibebaskan sempena Aidilfitri

MOHD. Nasir Yusof (tengah) memberikan kata-kata semangat kepada penghuni yang dibebaskan menerusi Program Ihsan Madani Kepulangan Yang Dinanti di PPA Machang, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Seramai 142 penghuni Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang di sini hari ini dibebaskan menerusi Program Pelepasan Orang Bebas Berlesen (OBB) sempena Program Ihsan Madani Kepulangan Yang Dinanti sempena Hari Raya Aidilfitri 2024.

Pengarahnya Mohd. Nasir Yusof, berkata, daripada jumlah itu, seramai 66 prospek berada di bawah seliaan majikan manakala 76 orang lagi akan berada di Rumah Perantara (RP).

Menurutnya, mereka diberi peluang untuk bertemu keluarga di samping mendapatkan pekerjaan melalui kemahiran yang dipelajari ketika ditahan berada di dalam penjara.

“Sebanyak 34 syarikat pelbagai bidang yang menyediakan 300 peluang pekerjaan akan mengambil OBB di Kelantan.

“Sepanjang tahun lalu, seramai 1,000 prospek menjalani program Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) dalam pelbagai bidang termasuk bidang perladangan getah, kelapa sawit, pembuatan dan perkhidmatan,” katanya kepada pemberita selepas Program Ihsan Madani Kepulangan Yang Dinanti di PPA Machang, di sini hari ini.

Mohd. Nasir memberitahu, majikan yang mengambil OBB bekerja akan menerima manfaat seperti pengecualian cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Katanya, pada masa sama majikan tersebut turut menerima inisiatif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM1,500 sebulan untuk tempoh enam bula,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Nasir berkata, RP ketiga di Machang akan dibuka dalam masa terdekat bagi menempatkan banduan di daerah ini semasa menjalani baki hukuman sebelum dibebaskan secara penuh.

Katanya, perbincangan telah dilakukan bersama Ketua Jajahan Machang dan hanya menunggu kelulusan untuk rumah tersebut beroperasi.

“Jika menerima kelulusan, maka RP akan memudahkan prospek atau banduan untuk menjalani baki hukuman di luar penjara dengan pemantaun pihak parol.

“Kita berharap RP dapat diwujudkan di setiap daerah bagi memudahkan prospek yang tiada keluarga dan enggan diterima keluarga dengan fasiliti lengkap,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×