PORT DICKSON: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan mencemar duli ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2024 Peringkat Negeri Sembilan yang diadakan di Gelanggang Petanque, Batu 1, di sini malam tadi.
Baginda diiringi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud dan kedua putera baginda iaitu Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-’Abidin
Ketibaan baginda berdua disambut Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan isteri, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof.
Majlis turut dihadiri oleh Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah dan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.
Yang turut hadir, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri serta pegawai kanan kerajaan.
Aminuddin sementara itu berkata, kira-kira 12,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat hadir memeriahkan rumah terbuka itu.
“Mewakili kerajaan Negeri Sembilan, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada 12,000 pengunjung yang sudi meluangkan masa memeriahkan majlis.
“Saya berharap dengan kelangsungan majlis ini menjadi satu wadah untuk meraikan semangat kegembiraan dan kebersamaan sempena Aidilfitri,” katanya.
Pada majlis itu para pengunjung disajikan dengan pelbagai jenis juadah hari raya daripada sebanyak 52 gerai yang disediakan.-UTUSAN.










