TEMERLOH: Seorang wanita berusia 25 tahun maut apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan di kilometer 29 Jalan Jerantut-Temerloh di sini hari ini.
Ketua Polis Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu melibatkan kereta Proton Saga dan lori Hicom.
“Punca kejadian apabila lori Hicom yang dipandu oleh seorang lelaki Orang Asli berusia 47 tahun beralamat di Kampung Kuala Krau hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian hadapan kereta Proton Saga.
“Akibat pelanggaran, pemandu Proton Saga yang merupakan seorang wanita berusia 25 tahun beralamat di Padang Tengku, Lipis disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Penumpang kereta, seorang lelaki berusia 25 tahun beralamat di Felda Keratong Lima cedera di bahagian kepala dan dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk menerima rawatan lanjut,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini hari ini.
Menurut Mazlan, pemandu lori mengalami kecederaan di bahagian kaki kanan.
Katanya, bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan ujian Covid-19 diperoleh untuk mengetahui punca kematian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN










