ARAU: Bersempena bulan Ramadan, UMNO Bahagian Arau dengan kerjasama mahasiswa daripada beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan Persatuan Belia Masjid menyedia dan mengedarkan bubur lambuk di sekitar kawasan Arau di sini, semalam.
Program secara gotong-royong yang bermula pada sejak awal pagi itu menyediakan sebanyak kira-kira 1,500 bekas bubur lambuk untuk diedarkan buat orang awam bagi mengimarahkan lagi bulan mulia ini.
Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Rozabil Abd. Rahman berkata, pelaksanaan program tersebut adalah cetusan idea mahasiswa yang prihatin dengan masyarakat setempat.
“Mereka (mahasiswa) juga ingin bersama-sama berkongsi rezeki sempena bulan Ramadan ini,” katanya ketika ditemui pada Program Edaran Bubur Lambuk Bersama Tok Ben di sekitar Arau, di sini, semalam.
Sementara itu, Rozabil memberitahu, UMNO Bahagian Arau juga telah menubuhkan dua badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Komuniti Petani Arau dan Komuniti Didik Arau bagi melaksanakan program-program berkaitan kemasyarakatan.
Dalam perkembangan sama, Rozabil berkata, terdapat juga peluang kolaborasi akan dilaksanakan bersama mahasiswa dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) selepas ini antaranya bagi menjayakan Program Baca Kids.
Katanya, program tersebut adalah bertujuan untuk membantu seramai kira-kira 500 murid sekolah rendah di kawasan Arau yang tidak dapat membaca dengan penyediaan 14 modul ditetapkan.
“Saya juga telah berbincang dengan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan beliau bersetuju dengan pelaksanaan program ini bagi membantu murid sekolah rendah yang berdepan masalah membaca,” katanya.-UTUSAN










