NARATHIWAT (THAILAND): Umat Islam di negara ini mula sibuk membuat persiapan menyambut Ramadan dengan membeli barangan keperluan asas bagi menunaikan ibadah puasa.
Tinjauan di Pasar Besar Narathiwat mendapati umat Islam ‘membanjiri’ lokasi itu untuk membeli barangan keperluan harian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang suri rumah, Bismee Yusof, 19, berkata, persiapan awal itu bertujuan mengelakkan dia berdepan dengan suasana panik sehari sebelum Ramadan.
Menurutnya, pada hari tersebut kawasan pasar ini akan menjadi lebih sesak dengan orang ramai yang keluar untuk membuat persiapan akhir.
“Persiapan saya untuk Ramadan kali ini sederhana sahaja dan memilih untuk berjimat-cermat dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.
“Jadi, saya hanya membeli barangan keperluan untuk disediakan pada hari pertama sahur nanti,” katanya.
Seorang peniaga somtam, Wan Sabani Wan Daud, 54, berkata, setiap kali Ramadan dia akan membuat pembelian awal bagi mengelakkan berdepan suasana sesak.
Katanya, langkah tersebut memudahkan tugas untuk mendapatkan barangan berkualiti untuk disajikan kepada pelanggan pada hari pertama puasa. – UTUSAN











