KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menahan tiga lelaki warganegara Syria sedang bekerja di beberapa premis di sebuah pusat beli-belah di bandar di negeri ini menerusi Ops Sapu/Kutip yang dijalankan selama dua hari bermula kelmarin hingga semalam.
Pengarahnya Mohd. Faizal Shamsudin berkata, selain itu JIM Kelantan turut menahan 16 lagi warga asing dalam operasi yang bermula pukul 8 pagi kelmarin sehingga 4 pagi semalam.
Menurutnya, operasi tersebut dilakukan di sekitar bandar Kota Bharu dan Machang.
“Warga asing yang ditahan melibatkan masing-masing seorang lelaki warga Myanmar, Bangladesh, Mesir, kanak-kanak Kemboja termasuk dua wanita dan kanak-kanak perempuan warga Kemboja.
“Selain itu, tiga lelaki lelaki warganegara Syria dam masing-masing empat lelaki Kemboja dan Pakistan turut diberkas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Faizal memberitahu, kesemua warga asing itu berada di premis di pusat beli-belah di sini, kedai runcit, beberapa buah rumah pekerja ladang di Temangan, Machang dan rumah teres di daerah tersebut.
Katanya, lingkungan usia bagi warga asing dewasa yang ditahan dianggarkan antara 19 hingga 55 tahun manakala kanak-kanak pula bermula 7 hingga 12 tahun.
“Kesemua warga asing itu dihantar ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15 (1) (c) akta sama dan Peraturan 39 (b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” ujarnya.-UTUSAN