PETALING JAYA: Meskipun Hari Raya Aidilfitri semakin hampir namun baki rakyat Palestin yang selamat dalam peperangan di Gaza tidak memikirkan hari raya sebaliknya hanya teringat sama ada esok mereka masih hidup atau tidak.
Ini kerana keadaan di Gaza terutama sebelah utara terus tegang dengan serangan Israel yang tidak mengira waktu. Selain melakukan serangan membabi buta, askar zionis juga didakwa melakukan penahanan ke atas penduduk Palestin sesuka hati.
Rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron, 37, yang pernah terkandas di Gaza berkata, baki penduduk Palestin yang masih selamat tidak terfikir untuk beraya apa lagi untuk membuat persediaan menyambutnya.
Katanya, mereka yang berada di Gaza kini hanya memikirkan macam untuk mendapat makanan untuk meneruskan kehidupan dari hari ke hari lebih-lebih bantuan kemanusian yang sampai tidak mencukupi.
“Bagi penduduk Palestin tahun ini seolah-olah tiada Syawal. Masing-masing hanya memikirkan di mana lagi ada bantuan makanan dan adakah esok mereka hidup atau mati,’’ kata Nurul Ain yang berkahwin dengan lelaki Palestin.
BANTUAN
Nurul Ain berkata, susulan itu, penduduk Palestin sangat mengharapkan bantuan kemanusiaan lebih kerap dihantar ke Gaza lebih banyak sama ada melalui darat mahupun udara.
“Bantuan terbaharu ketika ini ialah kemasukan 10 trak makanan. Tetapi selepas itu tidak ada bantuan lain lagi. Penduduk Palestin ternanti-nanti bantuan seterusnya,” katanya yang mengikuti perkembangan penduduk Palestin menerusi keluarga mentuanya di Gaza.
Oleh itu, kata Nurul Ain lagi, dia sangat berharap bantuan kemanusiaan termasuk ubat-ubatan dan sebagainya terus disalurkan oleh negara-negara luar.
“Saya juga berharap semoga lebih ramai lagi orang yang boleh memberikan dana untuk saya terus membantu rakyat disana.
“Seandainya orang ramai ingin membayar zakat, fidyah, membuat aqiqah dan iftar saem, saya akan sampaikan dan harapan saya supaya trak bantuan yang tersekat di sempadan Mesir dibenarkan masuk,” ujarnya. – UTUSAN










