Tawar iRPS secara tidak sah, FGP Ventures didenda RM25,000

Tawar iRPS secara tidak sah, FGP Ventures didenda RM25,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: FGP Ventures Sdn. Bhd. telah didenda sebanyak RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur setelah disabitkan kesalahan berkaitan pengumpulan syer keutamaan dikenali sebagai Islamic Redeemable Preference Share (iRPS) tanpa mempunyai perlembagaan syarikat.

Menurut Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), FGP Ventures, sebuah syarikat persendirian menurut syer, telah disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 90(4) Akta Syarikat 2016.

Katanya, Seksyen 90(4) Akta Syarikat 2016 merupakan peruntukan yang menyatakan bahawa adalah menjadi satu kesalahan apabila mana-mana syarikat persendirian menurut syer, membuat pengumpukan syer keutamaan tanpa mempunyai perlembagaan syarikat dan apabila disabitkan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM500,000 di bawah Subseksyen (5) Akta yang sama.

Jelasnya, denda telah dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah, Norina Zainol Abidin setelah mensabitkan syarikat berkenaan bersalah.

Dalam kes berkenaan katanya, FGP Ventures diwakili peguambela Muhammad Hasif Ghazali, manakala pendakwaan dikenalikan oleh Pegawai Pendakwa SSM, Fazarul Ezhar Mohd. Mokhtar dan Mohd. Iqbal Mohd. Yusoff.

“Pada 28 November 2023, FGP Ventures dan pengarahnya, Khemlani Satesh telah dipertuduhkan dengan empat pertuduhan di bawah Seksyen 43(1) dan Seksyen 90(4) Akta Syarikat 2016 berkaitan penawaran syer iRPS kepada orang
awam.

“FGP Ventures dan Khemlani telah membuat penawaran syer kepada orang awam dengan mendepositkan wang kepada syarikat bagi tempoh yang ditetapkan dengan jaminan faedah mengikut terma dipersetujui.

“Kedua-duanya turut membuat pengumpukan (allotment) syer keutamaan tersebut tanpa mempunyai peruntukan di dalam perlembagaan syarikat pada ketika itu,” jelas SSM dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, Syarikat dan pengarah telah dikenakan kompaun sebanyak RM325,000 bagi tiga kesalahan yang dipertuduhkan sebelum ini selepas representasi yang dikemukakan dipertimbangkan.

Kedua-dua tertuduh telah dilepas tanpa dibebaskan bagi tiga pertuduhan berkenaan, jelasnya.

“SSM ingin memberi peringatan kepada orang awam bahawa sebuah syarikat persendirian adalah dilarang menawarkan syer syarikat kepada orang awam dan membuat pengumpukan (allotment) syer tersebut tanpa mempunyai peruntukan di dalam
perlembagaan syarikat.

“SSM mengambil tindakan pendakwaan seumpama ini sebagai satu bentuk peringatan kepada komuniti korporat dan orang awam bahawa tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang yang dikawalselia oleh SSM.

“Ini bagi memastikan tadbir urus korporat yang baik dan pematuhan undang-undang syarikat sentiasa diamalkan oleh warga korporat dan komuniti perniagaan di Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN