Tawar harga bufet berbuka puasa serendah RM10 - Utusan Malaysia

Tawar harga bufet berbuka puasa serendah RM10

HAFIZUDDIN Bujang menunjukkan lauk masak lemak cili api dan kuih-muih yang ditawarkan bagi bufet berbuka puasa di kedai makan, Lomak Salai, Tampin.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Bagi meraih keberkatan bulan Ramadan seorang pemilik kedai makan mengambil pendekatan menarik dengan menawarkan hidangan bufet berbuka puasa dengan harga serendah RM10.

Pemilik kedai makan Lomak Salai di sini, Hafizuddin Bujang, 30, berkata, harga yang ditawarkan itu adalah khusus untuk kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun serta warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Menurutnya, bagi kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah pula, tiada bayaran yang dikenakan.

“Kami mengenakan bayaran sebanyak RM75 untuk dewasa dan tujuan kami tawarkan harga rendah untuk kanak-kanak serta warga emas ini adalah bagi memberi peluang kepada ibu bapa yang mempunyai anak yang ramai untuk menikmati hidangan bufet.

“Kita tahu jumlah kanak-kanak makan sebanyak mana dan warga emas makan banyak mana. Kami nak bantu keluarga besar ini untuk makan bufet sempena Ramadan,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, Hafizuddin berkata, sesuai dengan nama kedai makannya itu, menu istimewa yang disediakan sudah tentu terdiri daripada makanan tradisi, masak lemak cili api.

“Tahun ni kita buat buat bufet berbuka dengan tema Bufet Omak Den. Terdapat lebih 150 jenis makanan tersedia untuk dinikmati pelanggan.

“Selain masakan utama iaitu daging salai dan ayam masak lemak cili api, kami juga ada 12 gerai-gerai kecil yang turut menghidangkan makanan tertentu seperti sup dan lauk pauk seperti kenduri perkahwinan,” katanya ymemaklumkan kedai berkenaan mampu menampung kira-kira 450 pengunjung pada satu-satu masa.

Hafizuddin dalam pada itu memberitahu, kedai makannya itu telah beroperasi lebih dua tahun dan memang mendapat sambutan menggalakkan.

“Ini tahun kedua kami buat bufet berbuka puasa selepas hampir dua tahun enam bulan kami beroperasi. Harga yang kami tawarkan juga berpatutan untuk seisi keluarga,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×