BATU PAHAT: SWM Environment mengedarkan kira-kira 2,000 mangkuk bubur lambuk menerusi program SWM Kasih sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporatnya kepada penduduk di kawasan Parit Raja, dekat sini hari ini.
Turut disampaikan adalah barangan keperluan harian kepada 40 keluarga kurang berkemampuan, orang kurang upaya (OKU), pesakit kronik dan ibu tunggal di sekitar daerah Batu Pahat.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, sumbangan yang disalurkan saban tahun itu turut diberikan kepada 30 penghuni Mahad Tahfiz Luqman Al-Hakim, dekat sini yang bertujuan untuk berkongsi keceriaan sempena kehadiran Ramadan dan Syawal.
“SWM Environment sememangnya mengambil berat semua lapisan masyarakat dan kami sentiasa berusaha untuk menyumbang menerusi entiti SWM Kasih yang terus komited menjalankan program tanggungjawab sosial bagi berkongsi rezeki dan kegembiraan kepada mereka.
“Program SWM Kasih juga sentiasa menerapkan elemen pengukuhan perpaduan dan saling memahami antara kaum dan agama di negara ini bagi memastikan setiap golongan menerima bantuan sewajarnya,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Norlisam turut mengingatkan orang ramai bersama-sama menyokong kempen mengelakkan pembaziran makanan yang dilancarkan pihaknya sepanjang bulan Ramadan ini.
Kempen ini bertujuan bagi menggalakkan amalan kawalan pembaziran sisa makanan kerana trend pembuangan sisa makanan pada musim perayaan dan Ramadan meningkat antara 15 hingga 20 peratus. – UTUSAN











