ALOR GAJAH: Kempen Subuh Macam Jumaat dianjurkan Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) dengan kerjasama kerajaan negeri di Masjid Nur Jannatul Bahri, Masjid Tanah di sini, hari ini berjaya merekodkan kehadiran lebih 600 jemaah.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, perlu lebih banyak badan korporat menganjurkan aktiviti sedemikian sebagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.
Beliau berkata, dalam program itu, Bank Muamalat turut menyumbang RM10,000 kepada Masjid Nur Jannatul Bahri yang akan digunakan untuk program-program dan penambahbaikan kemudahan bagi keselesaan kariah.
“Kerajaan negeri menyambut baik dan menyokong usaha murni ini untuk diteruskan lagi pada masa akan datang.
“Justeru, saya berharap lebih banyak syarikat korporat yang kehadapan untuk menganjurkan CSR seperti ini, melibatkan komuniti, jawatankuasa masjid dan pihak kerajaan negeri sendiri,” katanya ketika berucap.
Program itu dimulakan dengan solat Subuh berjemaah, tazkirah, penyerahan bantuan kepada masjid dan sarapan.
Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, selain bertujuan menambah keselesaan jemaah khususnya bagi menyambut Ramadan, ia juga menjadi platform mengeratkan silaturahim antara komuniti dengan warga Bank Muamalat.
Jelasnya, inisiatif itu juga merupakan salah satu CSR melalui gotong-royong membersihkan dan membaik pulih 14 buah masjid terpilih di 14 negeri.
“Pada mulanya kita hanya bercadang untuk menganjurkan program Cintai Masjid, tetapi memandangkan program Subuh Macam Jumaat yang dijalankan bulan lalu di empat negeri mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan, jadi kita fikir ada baiknya untuk program ini digabungkan sekali bagi menyemarakkan lagi sambutan Ramadan yang bakal tiba,” katanya. – UTUSAN










