JOHOR BAHRU: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menitahkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas berkaitan isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah.
Baginda bertitah, tindakan tegas itu perlu diambil bagi memastikan isu seperti itu tidak akan berulang lagi kerana kalimah Allah adalah kalimah suci yang amat tinggi dalam hati umat Islam dan isu berkenaan tidak boleh dipandang remeh.
“Saya memandang serius isu ini dan berharap perkara ini tidak mengganggu gugat keharmonian negara,” titah baginda dalam hantaran menerusi laman sosial Facebook sebentar tadi.
Rabu lalu, pengendali rangkaian kedai serbaneka, KK Super Mart & Superstore Sdn. Bhd. (KK Super Mart) memohon maaf berkaitan video yang tular tentang penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah.
Syarikat itu memaklumkan penjualan stoking berkenaan telah dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.
Semalam, Kementerian Dalam Negeri menegaskan siasatan terhadap kedai serbaneka itu akan tetap diteruskan meskipun KK Mart di Sunway, Selangor sudah menarik balik kesemua stoking yang tertera kalimah Allah.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah memberitahu, setakat ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 36 laporan berhubung stoking itu yang tular dalam media sosial baru-baru ini. – UTUSAN










