SEREMBAN: Pembinaan projek perumahan yang dibangunkan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) iaitu Residensi Bandar Ekar (Rantau) di sini yang sebelum ini dikategorikan sebagai projek sakit kini sudah mencapai 96 peratus siap.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar sehubungan itu berkata, projek pembangunan 766 unit rumah yang mula dibina pada tahun 2017 itu kini dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua bulan lagi.
“Saya bersama dengan Unit Perumahan SUK Negeri Sembilan telah melawat tapak projek tersebut untuk memantau status terkininya. Projek PR1MA Residensi Bandar Ekar (Rantau) telah mencapai 96 peratus status binaan dan dijangka dapat siap dalam tempoh dua bulan sebelum Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) dapat dikeluarkan.
“Kerja fizikal di tapak juga hampir siap seperti membaik pulih unit kediaman, kerja mekanikal dan elektrikal dan kemasan dalaman kini tinggal kerja-kerja penurapan jalan sahaja.
“Bagaimanapun terdapat sedikit isu berkaitan kerja-kerja menaik taraf persimpangan masuk ke projek berkenaan iaitu daripada Jalan Mambau-Linggi yang masih belum diselesaikan,” katanya ketika dihubungi.
Utusan Malaysia pada tahun lalu ada melaporkan kekecewaan pembeli Residensi Bandar Ekar di Rantau di sini selepas projek berkenaan masih belum dapat disiapkan walaupun setelah dibeli mereka sejak tahun 2017.
Projek perumahan yang melibatkan sebuah tadika, dewan serbaguna dan nurseri itu mula dibina pada tahun 2017 dan sepatutnya disiapkan pada tahun 2019, namun ekoran pelbagai masalah dihadapi, ia mengalami masalah lewat sehingga dikategorikan sebagai projek sakit.
Sementara itu, mengulas lanjut, Arul Kumar berkata, kerja-kerja naik taraf persimpangan masuk tersebut termasuk membina lampu isyarat merupakan syarat yang perlu dipatuhi oleh pihak pemaju.
“Bagaimanapun terdapat paip Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains) yang perlu dialihkan, namun untuk tujuan itu pemaju perlu memohon kepada Sains untuk menutup bekalan air untuk tempoh satu hari dan Sains hanya berikan kelulusan untuk tujuan itu pada bulan Mei.
“Saya ada minta supaya kelulusan itu diberikan lebih awal agar projek ini dapat disiapkan lebih awal namun saya difahamkan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) tidak benarkan untuk tutup bekalan air sehingga penghujung bulan April untuk projek-projek seperti ini susulan gangguan bekalan air yang dihadapi di negeri ini sebelum ini.
“Ini juga memberikan kesan kepada projek pembinaan perumahan tersebut, ia bukan isu di dalam tapak pembinaan namun projek naik taraf simpang jalan itu merupakan syarat yang mesti dipatuhi oleh pemaju,” katanya.-UTUSAN.









