SEREMBAN: Negeri Sembilan melakar sejarah dalam bidang pendidikannya apabila Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Ampuan Najihah di sini dipilih sebagai Sekolah Seni Malaysia yang pertama di negeri ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Dr Roslan Hussin berkata, terdapat peluang untuk mewujudkan sekolah seni di negeri ini ramai bakat seni yang dilahirkan di negeri ini dalam kalangan sekolah menengah dan sekolah kebangsaan.
“Paling utama sebagai sebuah negeri beradat sudah tentulah mempunyai pelbagai budaya yang perlu ditonjol dan dikekalkan agar dapat diwarisi generasi akan datang.
“Sudah sampai masanya negeri ini mempunyai sebuah sekolah seni yang memberi fokus kesenian disamping mengekalkan pencapaian akademik yang baik,” katanya kepada pemberita pada Pendaftaran Pelajar Tingkatan 1 SMK Tunku Ampuan Najihah, Noghori Arts School (NAS) di sini.
Program telah dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun turut hadir merasmikan program berkenaan.
Sementara itu, Dr. Roslan berkata, pihaknya menerima lebih 300 permohonan untuk kemasukan pelajar yang sekali gus menunjukkan sekolah tersebut mendapat maklum balas baik yang menawarkan program kesenian.
“Apabila calon yang memohon ramai jadi kami menyediakan beberapa kriteria supaya memenuhi hasrat dan harapan kita. Pelajar akan diberikan latihan seperti yang diharapkan, setakat hari ini hampir 90 pelajar ditempatkan untuk sesi pertama ini,” katanya.
Beliau sementara itu berkata, SMK Tunku Ampuan Najihah juga mencipta sejarah apabila menerima kemasukan pelajar lelaki sejak 56 tahun penubuhannya.
“Daripada segi kemasukan pelajar lelaki pula katanya, jika tidak diambil peluang segera kemungkinan sekolah berhadapan dengan penyusutan bilangan kemasukan pelajar sekitar lima hingga 10 peratus dari tahun ke tahun.
“Penyusutan itu berlaku sejak tiga tahun kebelakangan ini disebabkan faktor persekitaran penduduk. Jadi dengan fasiliti yang ada, kami percaya bila dijadikan sekolah seni maka sudah tentu jumlah kemasukan akan bertambah dan dalam masa sama fasiliti serta bangunan dapat dimanfaat dengan semaksimum mungkin,” katanya lagi.
Sementara itu, Aminuddin berkata, setakat ini, terdapat empat buah Sekolah Seni Malaysia yang ada di negara ini iaitu Sekolah Seni Malaysia Johor, Sekolah Seni Malaysia Sarawak, Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur dan Sekolah Seni Malaysia Perak.
“SMK Tunku Ampuan Najihah adalah Sekolah Seni Malaysia yang keenam yang mempunyai program khusus pendidikan seni seperti mana di SMK Elopura di Sandakan, Sabah.
“Sekolah Seni Malaysia ditubuhkan untuk memberikan peluang dan ruang kepada anak-anak muda Malaysia untuk berkarya dalam bidang seni.
“Terima kasih kepada pihak jabatan pendidikan dan khususnya kepada pihak sekolah yang telah berjaya merealisasikan tanggungjawab begitu berat dan hari ini SMK Tunku Ampuan Najihah dapat menerima kohort pertama bagi pelajar program sekolah seni bermula tahun 2024,” katanya lagi.
Terdapat empat bidang pengajian di Sekolah Seni Malaysia bagi menengah rendah (Tingkatan 1, 2 dan 3) iaitu muzik, seni visual, tari dan teater manakala enam bidang pengkhususan bagi murid di peringkat menengah atas (Tingkatan 4 dan 5) iaitu, muzik, seni halus, reka bentuk, komunikasi visual, tari dan teater.-UTUSAN.









